Sekitar pemandangan Bandar Klang. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan ini mengisytiharkan dan menetapkan bahawa Majlis Perbandaran Klang, bermula pada 23 November 2023 akan menjadi sebuah Bandar Raya Diraja buat selama- lamanya dan hendaklah disebut sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Sekitar pemandangan Bandar Klang. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan ini mengisytiharkan dan menetapkan bahawa Majlis Perbandaran Klang, bermula pada 23 November 2023 akan menjadi sebuah Bandar Raya Diraja buat selama- lamanya dan hendaklah disebut sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


Klang: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Datuk Bandar dan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengambil serius keperluan asas rakyat terutamanya isu banjir.

Sultan Sharafudin bertitah, baginda mengharapkan Datuk Bandar dan Ahli-ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang mengambil serius masalah ini dengan memikirkan langkah mengatasinya.

"Pelan rancangan rapi dan teratur perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kedudukan Bandaraya Diraja Klang yang terletak di muara Sungai Klang.

"Pendapat pakar perlu diperoleh bagi memastikan sebarang rancangan mengatasi masalah banjir ini dapat diatasi dengan berkesan," titah baginda selepas menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda mahu warga Bandaraya Diraja Klang berbangga dengan status Bandaraya Diraja dan sentiasa bekerjasama dengan pihak berwajib menjaga kebersihan khususnya di pesisir Sungai Klang, harta benda awam dan mengikuti peraturan ditetapkan bagi menjaga status Bandaraya Diraja ini selaras slogan 'Klang Sihat dan Sejahtera'.

"Pihak penguat kuasa bandar raya perlulah tegas dan melaksanakan tugas dengan berdisiplin dan berhemah," titah baginda.

Baginda juga mahu MBDK mempertingkatkan usaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat demi memastikan warga Bandaraya Diraja Klang hidup dalam keadaan harmoni dengan persekitaran selamat untuk dihuni.

"Perancangan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang perlu segera dilaksanakan.... Apalah guna kita berbangga dengan pencapaian status bandar raya sekiranya masalah keperluan asas rakyat pun tidak dapat diurus dengan baik.

"Beta mahu pengiktirafan status bandar raya ini menjadi dorongan kepada pihak berkuasa menyediakan perkhidmatan lebih efisyen, kemudahan prasarana dan utiliti awam yang lebih baik serta menyediakan perkhidmatan perbandaran yang cekap, berkualiti dan bertaraf antarabangsa demi kesejahteraan rakyat di Klang," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kerajaan Persekutuan yang berkenan dan bersetuju untuk menaik taraf Majlis Perbandaran Klang menjadi MBDK.

"Beta berasa sukacita kerana setelah melalui pelbagai peringkat, cabaran dan proses, Bandar Diraja Klang ini akhirnya dinaiktaraf kepada status bandar raya.

"Selepas Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya, Klang adalah daerah keempat di Selangor dinaik taraf sebagai bandar raya," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 12:34 PM