Polis menembak mati seorang lelaki yang juga suspek kes bunuh dalam serbuan di Blok 15, Pangsapuri Melati, Bukit Subang di sini, hari ini. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Polis menembak mati seorang lelaki yang juga suspek kes bunuh dalam serbuan di Blok 15, Pangsapuri Melati, Bukit Subang di sini, hari ini. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Shah Alam: Polis menembak mati seorang lelaki warga Indonesia yang juga suspek kes bunuh dalam serbuan di Blok 15, Pangsapuri Melati, Bukit Subang di sini hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasukan serbuan terpaksa melepaskan tembakan ketika cuba mempertahankan diri daripada suspek yang menyerang menggunakan parang sepanjang 28 sentimeter (cm)

"Jam 5.50 petang sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan JSJ IPD Petaling jaya membuat serbuan di lokasi kejadian.

"Sampai di lokasi pasukan serbuan mengetuk pintu beberapa kali namun tidak dibuka lalu pasukan serbuan menyerbu masuk dan memperkenalkan diri sebagai polis.

"Suspek berusia lingkungan 20-an bersenjatakan parang tiba-tiba meluru ke arah salah seorang pegawai serbuan," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pasukan serbuan melepaskan satu das tembakan yang mengenai mangsa dan merampas parang yang digunakan dalam kejadian itu.

Hussein berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Penduduk Muhammad Nur Alief, 33, berkata sebelum kejadian dia yang sedang membuat kerja mengimpal motosikal di tingkat bawah blok berkenaan melihat sekumpulan lelaki menyerbu rumah suspek sekitar jam 5 petang.

Sejurus itu katanya, dia terdengar bunyi letupan seperti tembakan dilepaskan kemudian melihat ramai anggota polis tiba di kawasan itu.

Dia yang sudah menetap lebih tiga dekad di situ berkata kediaman itu disewa oleh warga asing namun dia tidak mengenali secara peribadi penghuni di rumah berkenaan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan wanita warga Indonesia berusia 19 tahun ditemukan maut dengan kesan kecederaan di badannya di tepi tangga berhampiran lif di tingkat lima Blok 5, Desa Mentari, Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 8:18 PM