RAPTAI istiadat keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah hari ini berjalan lancar.
RAPTAI istiadat keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah hari ini berjalan lancar.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Raptai istiadat keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Iskandariah berjalan lancar, semalam.

Raptai istiadat yang berlangsung di Anjung Utama Istana Negara, Dataran Parlimen dan Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjalan mengikut jadual ditetapkan.

Di Dataran Parlimen, sesi raptai penuh dilaksanakan membabitkan istiadat penting seperti Kawalan Kehormatan Utama dan persembahan pasukan pancaragam oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta tembakan meriam.

Pada acara itu, Seri Paduka menerima persembahan tabik "Hormat Diraja" serta acara menghadap dan bersalaman oleh anggota Kabinet dan tetamu kehormat.

Di Kompleks Bunga Raya, KLIA di Sepang pula keberangkatan balik Seri Paduka berdua diiringi perarakan bergajah selain persembahan kebudayaan sekali gus memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kegemilangan kerajaan Melayu.

Al-Sultan Abdullah akan menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada esok dan digantikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 1:35 PM