ANTARA dadah yang dirampas. FOTO ihsan polis
ANTARA dadah yang dirampas. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan 10 ahli di kawasan Jalan Syed Putra, sini, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan, Norhisham Mustapar berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Brickfieldsmelancarkan serbuan di kawasan Jalan Syed Putra, di sini.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihak polis merampas 432 gram pil eramin, 5420 gram ganja, 254 gram methamphetamine dan 326 gram heroin.

"Hasil saringan awal air kencing dapati enam suspek positif dadah manakala empat suspek lagi negatif.

"Pihak polis juga merampas beberapa aset sindiket untuk tujuan sitaanRM 17,600, sebuah keretaPerodua Axia, motosikal Y15ZR dengan nilai keseluruhan rampasan dadah RM81,196," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan sitaan RM55,400 manakala nilai keseluruhan rampasanRM136,596.

"Pihak BSJND IPD Wangsa Maju, masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan punca bekalan dadah diperolehi.

"Suspek direman selama enam hari sehingga 30 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah itu mampu menampung seramai 2,500 penagih dadah dalam satu masa.

"Polis Kuala Lumpur berharap orang awam dapat menyalurkan maklumat berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang supaya tindakan dapat diambil ke atas perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 12:44 PM