GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menahan pensyarah sebuah universiti di Selangor selepas dia didapati mengedar ganja dalam Operasi Khas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Brickfields semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, penahanan lelaki berusia 31 tahun itu dilakukan selepas polis menahan seorang lagi lelaki berusia 19 tahun di tepi jalan Kuchai Maju, jam 2 petang.

Menurutnya, ketika ditahan lelaki itu mendakwa mendapat bekalan ecstasy melalui laman sesawang sementara ganja diperoleh daripada seorang lelaki.

"Polis merampas satu paket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki ecstasy seberat 16.65 gram.

"Siasatan lanjut kemudian menahan pensyarah berusia 31 tahun itu dan merampas ganja seberat 1,380 gram, serbuk ecstasy (3.3 gram), 10 biji kapsul ecstasy (3.17 gram) dan 19 keping dadah LSD," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anuar berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif ganja dan direman seminggu bermula hari ini.

"Nilai rampasan dadah adalah RM7,480 manakala sitaan wang tunai RM2,000 dengan nilai keseluruhan rampasan RM9,480.

"Suspek terbabit dalam kegiatan pengedaran selama tujuh bulan dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti sindiket yang terbabit dan sumber bekalan diperolehi.

"Hasil tangkapan itu, polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan," katanya.

Beliau berkata, dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 500 orang dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 6:25 PM