PASUKAN Penyelamat SMART Malaysia bergerak ke lokasi kejadian tanah runtuh. FOTO NSTP
PASUKAN Penyelamat SMART Malaysia bergerak ke lokasi kejadian tanah runtuh. FOTO NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Cameron Highlands: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa insiden tanah runtuh di kawasan kebun sayur di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands hari ini akan menggunakan laluan alternatif baharu membabitkan kawasan tanaman di kebun.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi berkata laluan baharu itu bagi membolehkan jentera berat masuk ke kawasan lokasi kejadian daripada Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Katanya, bagi tujuan itu hal kebenaran mengenainya diuruskan polis.

"Kita cuba untuk dapatkan jentera berat khususnya jentera berantai untuk masuk dengan mencipta laluan baharu hingga terpaksa langgar kebun sayur. Namun setakat ini jentera berat belum memasuki kawasan itu lagi.

"Sebab setakat ini kaedah pencarian kita cari manual iaitu banyak menggunakan cangkul dan penyodok. Kita juga sudah dapat kebenaran dari polis bagi 'clearance' (pelepasan) daripada pemilik kebun (untuk kawasan dilanggar)," katanya dalam sidang media di PKTK, hari ini.

Katanya, operasi pagi ini disambung semula sejak ditangguhkan jam 7 malam tadi, membabitkan seramai 86 kekuatan anggota pelbagai agensi, selain daripada khidmat dua anjing pengesan, Frankey dan Pop.

Ditanya sama ada alat pengesan khas Ground Penetrating Radar (GPR) atau radar menembusi tanah bakal digunakan bagi mengesan baki tiga lagi mangsa yang masih dikhuatiri tertimbus, Md Gezani berkata setakat ini tiada keperluan untuk itu.

Menurutnya, setakat semalam kesukaran yang dihadapi pasukan menyelamat lebih kepada keadaan permukaan tanah yang lembap dan lembik namun tiada sebarang pergerakan tanah susulan yang dikesan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang turut sama membabitkan cerun di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 11:12 AM