KEADAAN motosikal mangsa yang ditemukan dalam parit. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN motosikal mangsa yang ditemukan dalam parit. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Arus deras menyukarkan bomba untuk menguruskan mayat mangsa berusia 50-an yang ditemukan dalam parit bersama motosikal di ladang kelapa sawit di kawasan Patani Para, Bidong, dekat sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.27 petang untuk mengambil mayat di lokasi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Aman Jaya yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Rashid Mamat bersama enam anggota ke lokasi.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melaporkan terdapat mangsa dipercayai lelaki lingkungan 50-an meninggal dunia dalam parit berkenaan.

"Operasi mengambil mayat agak sukar memandangkan keadaan hujan lebat yang menyebabkan mangsa hanyut dalam arus deras.

"Tindakan operasi adalah dengan membuat pencarian di permukaan air dan darat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azahari berkata, pada jam 10.12 malam tadi, PKO melaporkan menemui rangka dan serpihan tulang dipercayai milik mangsa sewaktu melakukan rondaan.

Terdahulu, tambah beliau, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengarahkan bantuan dari BBP Sungai Petani untuk menghantar bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan pencahayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 12:00 AM