KENDERAAN dihempap pokok tumbang dalam kejadian berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
KENDERAAN dihempap pokok tumbang dalam kejadian berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Lelaki maut selepas Proton Waja dipandunya dihempap pokok tumbang di hadapan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam, mangsa, S Karthigesu, 52, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dialami.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Azahari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.27 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Aman Jaya bersama sebuah jentera tiba di lokasi tidak lama kemudian untuk melakukan operasi penyelamatan.

Katanya, jentera bomba mengalami kesukaran ke lokasi kerana tiang elektrik di kawasan itu turut tumbang dan merentangi jalan raya.

Beliau berkata, bilik kawalan BBP Aman Jaya kemudian menghubungi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta agensi berkaitan untuk meminta bantuan.

"Komander Operasi melaporkan terdapat mangsa lelaki berusia 50-an dipercayai tersepit di dalam kenderaan Proton Waja terbabit.

"Mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta berkenaan, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Azahari berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, komander operasi memaklumkan terdapat lebih daripada 10 pokok di kawasan sekitar tempat kejadian turut tumbang menyebabkan banyak kenderaan mengalami kerosakan.

"Enam kenderaan yang mengalami kerosakan adalah dua Proton Waja, Perodua Myvi, Nissan X-Trail dan BMW.

"Bomba kemudian mengalihkan pokok tumbang yang menghalang jalan raya dengan dibantu agensi berkaitan di lokasi kejadian," katanya.

Azahari berkata, operasi tamat pada 12.38 tengah malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 9:38 AM