Mayat kanak-kanak berusia sembilan tahun yang terjatuh ke parit di Taman Scientex, ditemui pasukan mencari dan menyelamat. FOTO ihsan bomba
Mayat kanak-kanak berusia sembilan tahun yang terjatuh ke parit di Taman Scientex, ditemui pasukan mencari dan menyelamat. FOTO ihsan bomba
Ibrahim Isa


KANAK-kanak berusia sembilan tahun ditemui lemas pada 8.50 pagi hari ini di bawah jambatan Kota Masai, Pasir Gudang, Johor.

Muhammad Fakrul Najman Fauzi dipercayai terjatuh ke parit berhampiran Jalan Helang 2, Taman Scientex, 3 petang semalam ketika bermain bersama rakan sekolahnya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, mangsa dipercayai tergelincir ke dalam parit sedalam 4.57 meter dan selebar 6.1 meter ketika hujan lebat dan dibawa arus deras.

"Melihat mangsa hilang, rakannya mendapatkan bantuan sebelum sepasukan polis serta bomba dan penyelamat dari Balai Pasir Gudang bergegas ke lokasi.

"Operasi mencari dan menyelamat dijalankan serta merta membabitkan anggota dan pegawai polis, bomba serta Agensi Pertahanan Awam (APM) sehingga 12 tengah malam semalam dan disambung 7 pagi ini.

"Mangsa ditemui pasukan penyelam bomba dan penyelamat di dasar sungai," katanya.

Menurutnya, mayat ditemui dalam keadaan sempurna.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Ibrahim Omar berkata, mangsa ditemui kira-kira 2.5 meter dari tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 12:10 PM