MUHAMMAD Sanusi, gambar fail. FOTO NSTP
MUHAMMAD Sanusi, gambar fail. FOTO NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Pokok Sena: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan tidak akan ada sebatang pokok balak pun ditebang walaupun 'pokok' kemuncup sekiranya kerajaan Persekutuan membayar insentif RM100 juta setahun bagi memulihara Hutan Simpan Ulu Muda.

Beliau berkata, perkara itu sudah dituntut sejak empat tahun lalu sebagai ganti kehilangan hasil negeri.

"Depa (mereka) duk tuduh kata kita menebang balak maka kawasan tadahan air Ulu muda tercemar, pembalakan ini Jabatan Perhutanan yang menguatkuasakan peraturan dan undang undang, mereka agensi Kerajaan Persekutuan.

"Prosedur penebangan had penebangan dan had pengeluaran dikuatkuasakan jabatan berkenaan, pasal apa dok hentam kerajaan negeri. Jadi untuk menghentikan semua polemik itu bagi RM100 juta setahun, pokok kemuncup pun kami tak tebang," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Buku Pokok Sena 2024 di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut memberi amaran pihaknya tidak akan sesekali membiarkan negeri lain mencampuri urusan kerajaan di bawah pimpinannya.

"Jadi janganlah cadang nak buat agensi yang membabitkan negeri lain masuk wilayah Kedah, saya tak bagi dan saya tidak akan terlibat, buatlah macam mana pun saya tidak akan terlibat.

"Pegawai saya pun tidak akan terlibat pasal ini wilayah Kedah, Kedah ada kedaulatan ke atas wilayah kita. (Mereka) ajar kita buat itu buat ini atas kepentingan hangpa (Pulau Pinang) , kalau hangpa bergantung kepada Ulu muda untuk bekalan air bersih, hangpa bayaq (bayar) harga ayaq (air) itu, kita akan pastikan ayaq cukup untuk sampai kepada hangpa," katanya.

Sebelum ini Rimba Watch dilaporkan mendakwa kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan Tasik Muda yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut.

Kajian dilakukan melalui pemantauan imej satelit mendapati Tasik Muda mula mengumpul mendapan selut sejak Mac tahun lalu dan semakin membesar pada Oktober lalu.

Bagaimanapun Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Muhamad Abdullah memaklumkan kadar taburan dan bilangan hari hujan yang tinggi menyebabkan berlaku kekeruhan bersifat sementara di kawasan tadahan air Tasik Muda di Hutan Simpan Ulu Muda.

Bagaimanapun, ia tidak akan menyebabkan gangguan bekalan air di Pulau Pinang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 3:24 PM