WAN Rosdy bersama Dr Taufiq dan mahasiswa kelahiran Pahang pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 di Dewan Bankuasi, Canselori UMS, semalam. FOTO Mohd Adam Arinin
WAN Rosdy bersama Dr Taufiq dan mahasiswa kelahiran Pahang pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 di Dewan Bankuasi, Canselori UMS, semalam. FOTO Mohd Adam Arinin
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri Pahang menerusi Bantuan Prihatin Pahang 2022 menyumbang RM50,000 untuk membantu 250 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berasal dari Pahang di sini, semalam.

Setiap pelajar menerima sumbangan one-off sebanyak RM200 yang disampaikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy berkata, sumbangan itu adalah yang pertama disampaikan kepada pelajar di luar negeri itu.

"Bantuan turut diserahkan kepada pelajar Pahang di semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) lain di seluruh negara selepas ini.

"Keseluruhan kerajaan Pahang memperuntukkan RM8.54 juta yang memberi manfaat kepada 42,701 pelajar universiti berasal dari negeri itu yang mengikuti pengajian di semua IPTA dan IPTA seluruh negara pada tahun ini.

"Walaupun jumlahnya hanya RM200 namun kerajaan negeri sentiasa prihatin memikirkan kebajikan anak watannya serta akan sentiasa membantu selagi terdaya.

"Semoga pemberian sumbangan ini dapat meringankan dan membantu menampung kos perbelanjaan mahasiswa dan mahasiswi kita di kampus," katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis penyampaian Bantuan Prihatin Pahang kepada pelajar Pahang yang sedang mengikuti pengajian di UMS di sini, semalam.

Beliau turut menyerahkan wang bantuan RM200 itu kepada 200 pelajar yang hadir di Dewan Bankuasi, Dewan Canselor UMS sambil disaksikan Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Mengulas lanjut, Wan Rosdi berkata kerajaan Pahang amat mengambil berat dan komited terhadap perkembangan pendidikan anak watan Pahang sejajar hasrat melahirkan modal insan mempunyai jati diri dan sahsiah tinggi sekali gus mampu menyumbang kembali kepada kemajuan dan pembangunan negeri itu.

"Kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang misalnya membelanjakan sehingga RM1.4 bilion sejak 1983 bagi membiayai biasiswa, pinjaman pendidikan, program pendidikan, kemasyarakatan, keagamaan dan sukan yang memberi manfaat kepada 1.7 juta anak Pahang.

WAN Rosdy menyerahkan sumbangan kepada pelajar kelahiran Pahang di Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 di Dewan Bankuasi, Canselori UMS, semalam. FOTO Mohd Adam Arinin
WAN Rosdy menyerahkan sumbangan kepada pelajar kelahiran Pahang di Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 di Dewan Bankuasi, Canselori UMS, semalam. FOTO Mohd Adam Arinin

"Melalui peruntukan yang cukup besar ini, kerajaan negeri berjaya membantu ramai pelajar yang tidak berkemampuan untuk meneruskan pelajaran serta melonjakkan mereka yang berpotensi untuk maju dalam pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Contohnya, kerajaan Pahang menyalurkan bantuan awal persekolahan RM100 ringgit kepada setiap murid Tahun 1 bagi membeli kelengkapan pembelajaran, selain inisiatif Pahang Pride Student yang menawarkan diskaun 20 peratus kepada pelajar sekolah untuk pembelian peralatan sekolah di Malaysia Book Store (MBS).

"Selain itu, kerajaan Pahang juga menyalurkan Biasiswa Yayasan Pahang untuk pelajar sekolah rendah bernilai RM300 setahun serta Biasiswa Yayasan Pahang untuk pelajar sekolah menengah bernilai RM600 setahun khusus untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, " katanya.

Sementara itu, pelajar tahun tiga Program Perhubungan Antarabangsa UMS yang berasal dari Pahang, Pravin Ramakrishnan, 23, menyifatkan bantuan itu sangat berguna sebagai persiapan peperiksaan.

"Kita amat menghargai sumbangan kerajaan Pahang kepada kami dan berharap bantuan seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa depan," katanya.

Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang UMS, Noratikah Sukri, 24, berkata bantuan berkenaan sangat membantu pelajar negeri itu yang sedang belajar di Sabah.

"Wang bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu menampung keperluan kami di kampus. Kami juga bersyukur kos di UMS tidak terlalu tinggi dan masih boleh diterima," katanya.

Sementara itu, pelajar Program Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Anis Najwa Najihah Ismail, 23, berkata, kehadiran Wan Rosdy bersama barisan kepemimpinan kerajaan Pahang menyerahkan sendiri bantuan kepada mereka sangat menyentuh perasaan.

"Sebelum ini bantuan disalurkan melalui akaun tetapi kali ini dibuat secara bersemuka.

"Ini memperlihatkan pengorbanan pemimpin kita di Pahang yang sampai ke Sabah untuk memastikan kita menerima wang bantuan daripada kerajaan negeri.

"Ia sudah tentu membawa nilai moral yang baik kerana walaupun kita jauh dari kampung kita masih mendapat perhatian daripada kampung dan negeri kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 7:00 AM