Wan Rosdy (kanan) menerima 200 kit berbentuk bantuan makanan kering serta barang sanitasi daripada Pengerusi Malaysia Medical Association (MMA) Bahagian Pengamal Perubatan Swasta, Dr Balachandran S Krishnan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di daerah Jerantut. FOTO ROSELAN AB MALEK
Wan Rosdy (kanan) menerima 200 kit berbentuk bantuan makanan kering serta barang sanitasi daripada Pengerusi Malaysia Medical Association (MMA) Bahagian Pengamal Perubatan Swasta, Dr Balachandran S Krishnan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di daerah Jerantut. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Jerantut: Semua bantuan dari luar Pahang untuk mangsa banjir di negeri ini perlu mendaftar dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah bagi mengelakkan berlaku pertindihan bantuan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendaftaran dengan PKOB bukan untuk menyusahkan, tetapi untuk mengelakkan berlaku pembaziran.

"Kerajaan Pahang amat mengalu-alukan bantuan dari luar sama ada dari agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta untuk membantu mangsa banjir yang terjejas dalam bentuk barangan, makanan, kewangan dan pasukan sukarelawan.

"Namun, mereka hendaklah mendaftar dengan PKOB daerah agar tidak berlaku pertindihan bantuan sehingga berlakunya pembaziran.

"Jika tiada penyelarasan mungkin sesebuah tempat itu mendapat dua tiga kali bantuan dan berlaku pembaziran, manakala ada tempat yang berkemungkinan tercicir atau kurang bantuan," katanya.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada pihak luar yang datang membantu mangsa yang terjejas akibat banjir di Pahang.

Katanya, ia membuktikan rakyat Malaysia amat prihatin dengan kesusahan yang dialami oleh penduduk negeri ini apabila berusaha untuk membantu sekali gus menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia.

"Pada masa sama Kerajaan Pahang bersetuju untuk memberikan bantuan khas RM200 sebulan selama enam bulan kepada ketua isi keluarga (KIR) mangsa banjir di negeri ini yang kehilangan rumah akibat musibah berkenaan, baru-baru ini.

"Kita dalam proses mengumpulkan data mengenai mereka yang kehilangan rumah 100 peratus disebabkan banjir bagi tujuan berkenaan.

"Selain itu, kita akan beri kepada mereka yang rumah mereka mengalami 'total lost' (kemusnahan) sahaja dan kita beri untuk tempoh enam bulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 4:27 PM