GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan datang, kata firma penyelidikan.

Bank Islam Malaysia Bhd dalam nota penyelidikannya berpendapat, BNM mungkin mengekalkan kadar itu memandangkan tahap pendirian akomodatif semasa di tengah-tengah pertumbuhan sederhana dan prospek inflasi.

Ia berkata, bank pusat sudah menghentikan kitaran penormalan dasarnya di dua mesyuarat MPC pada 2023 untuk menilai kesan kenaikan OPR sebanyak 100 mata asas secara kumulatif terhadap ekonomi.

"Memandangkan pertumbuhan mungkin lebih sederhana pada separuh kedua 2023 (2H 2023) di samping pemulihan pasaran buruh yang lembap, kebarangkalian untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus sepanjang 2023 juga tinggi.

"Sehubungan itu, kami percaya BNM akan mengekalkan kadar yang stabil dalam mesyuarat MPC akan datang sambil mengekalkan penormalan dasarnya secara terbuka," katanya.

RHB Investment Bank (RHB IB) yang turut berkongsi pandangan yang sama berkata, ia menjangka bank pusat mengekalkan status quo OPR untuk menilai lebih lanjut kesan yang ditinggalkan daripada kenaikan berturut-turut sebelum ini di tengah-tengah persekitaran luaran yang mencabar, dengan kadar inflasi teras menunjukkan tanda-tanda stabil.

"Kami mengekalkan jangkaan OPR tertinggi kami pada 3.25 peratus dengan risiko cenderung ke arah 3.0 peratus, manakala anggaran OPR tertinggi konsensus Bloomberg ialah 3.0 peratus.

"Walaupun terdapat sedikit penyederhanaan momentum pada inflasi teras (pergerakan purata tiga bulan, pelarasan musim) pada beberapa bulan kebelakangan ini, momentum inflasi teras kekal tidak berubah di tengah-tengah tekanan permintaan domestik yang berdaya tahan, didorong oleh persekitaran kadar faedah rendah yang berpanjangan," katanya dalam nota penyelidikan yang berasingan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 9:06 AM