Seorang bekas penjawat awam didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu membabitkan kerugian RM30,000 berhubung permohonan permit kerja, 12 tahun lalu. FOTO L Manimaran
Seorang bekas penjawat awam didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu membabitkan kerugian RM30,000 berhubung permohonan permit kerja, 12 tahun lalu. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Bekas penjawat awam didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu permohonan permit kerja membabitkan kerugian RM30,000, kira-kira 12 tahun lalu.

Ahmad Zainuddin Bontak, 65, yang juga pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) Ipoh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian masih dalam perkhidmatan awam terbabit, memperdayakan ahli perniagaan, Badrul Hisham Hadan, 52, dengan mendorongnya untuk menyerahkan wang RM30,000 bagi membantu permohonan permit kerja bahan batuan pasir di Perak sedangkan tiada permohonan permit kerja bahan batuan pasir dilakukan oleh tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Sunway City, di sini, kira-kira 11 pagi pada 19 Oktober 2012.

Kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh berjumpa Badrul Hisham bersama tiga individu lain dan menjelaskan wang RM30,000 untuk bayaran kepada Pegawai Daerah sambil meminta tempoh untuk mendapatkan kelulusan permohonan permit pasir terbabit.

Pengadu kemudian menyerahkan RM30,000 kepada tertuduh dengan lelaki itu menyatakan sekiranya permohonan permit berkenaan ditolak maka wang terbabit akan dikembalikan.

Bagaimanapun, selepas enam bulan tiada sebarang berita berkaitan permohonan permit berkenaan dan pengadu meminta bayaran berkenaan dikembalikan semula, namun pelbagai alasan diberikan oleh tertuduh.

Fakta kes diakui tertuduh dan siasatan mendapati permit pasir berkenaan tidak wujud dengan tiada sebarang permohonan dilakukan oleh tertuduh kepada mana-mana Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di Perak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziyah Mansor.

Ahmad Kamar turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda RM30,000 berkenaan.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 12:48 PM