REMAJA warga asing yang disyaki mangsa eksplotasi buruh paksa diselamatkan pasukan polis dalam serbuan di sebuah kilang di Jalan Tungku, Silabukan, Lahad Datu.  FOTO Ihsan polis
REMAJA warga asing yang disyaki mangsa eksplotasi buruh paksa diselamatkan pasukan polis dalam serbuan di sebuah kilang di Jalan Tungku, Silabukan, Lahad Datu. FOTO Ihsan polis
Juwan Riduan


Lahad Datu: Lapan remaja perempuan diselamatkan polis dalam serbuan Op Pintas Mega di sebuah kilang di Jalan Tungku, Silabukan, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 8.50 pagi itu, remaja warga asing berusia antara 14 hingga 18 tahun terbabit disyaki dieksploitasi untuk menjadi buruh paksa di kilang berkenaan.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Sabah yang diketuai Pegawai Turus, Deputi Superintendan Heryan Mohd Tahir.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, serbuan turut dijalankan bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah.

Katanya, siasatan awal mendapati, kilang berkenaan dipercayai menggaji pekerja kanak-kanak serta pekerja warga asing tanpa dokumen keterangan diri yang sah.

"Hasil serbuan, polis menyelamatkan lapan remaja perempuan warga asing dari Filipina dan Indonesia yang bekerja di kilang berkenaan.

"Susulan itu, polis menahan pengurus kilang yang berasal dari Taiwan berusia 41 tahun bersama penyelia dan kerani kilang untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Azmi berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut menahan 18 pekerja warga asing selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, tangkapan terdiri daripada lapan lelaki dan 10 wanita berusia antara 17 hingga 55 tahun yang berasal dari Filipina dan Indonesia.

"Semua tangkapan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007 iaitu memperdagangkan orang yang juga kanak-kanak, bagi maksud eksploitasi.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja tanpa permit yang sah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, operasi dilancarkan di seluruh negara bermula 22 Januari lalu dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang.

Katanya, fokus operasi adalah mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi buruh kanak-kanak) berpandukan kepada National Guideline On Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 11:15 AM