Izani Ismail
Izani Ismail
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berharap dengan pelarasan tarif air domestik mulai 1 Februari depan dengan kenaikan purata 23 sen bagi setiap meter padu dapat membantu mengatasi masalah air dihadapi rakyat di negeri ini.

Pemangku Pengurus Besar AKSB, Izani Ismail berkata, kenaikan berkenaan boleh menampung perbelanjaan operasi yang sebahagian besarnya dapat digunakan untuk pembaikan paip bocor.

Katanya, di Kelantan, terdapat banyak paip yang mengalami kebocoran dan dengan adanya tambahan pendapatan itu, maka AKSB boleh mempercepatkan untuk membaiki paip yang bocor.

"Kadar kehilangan air tak terhasil (NRW) di Kelantan masih tinggi iaitu sebanyak 50 peratus dan apabila paip yang mengalami kebocoran ini dibaiki, makan kadar NRW akan berkurangan.

"Pada minggu ini, pihak kami dalam proses pelantikan kontraktor untuk kerja-kerja membaiki paip.

"Kami perlu melantik kontraktor dari luar kerana kakitangan yang sedia ada tidak mencukupi berikutan kebocoran paip yang berlaku melebihi keupayaan kami, dan berharap ia dapat diselesaikan secepat yang mungkin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Media- AKSB 2024 di The Grand Renai Hotel di sini, malam tadi.

Izani berkata, selain itu, pihaknya juga akan membaik pulih sistem rawatan di loji rawatan air (LRA) serta menaik taraf loji-loji lama supaya kualiti air lebih baik sekali gus dapat mengatasi isu air keruh sebelum ini.

"Kualiti air bermula di loji dan ada sesetengah LRA yang sistem pemprosesannya sudah agak lama dan perlu dibaiki serta dinaik taraf.

"Terdapat 42 LRA yang sedia ada dan melalui operational period (OP) 5, pihak AKSB akan menambah lima LRA baru iaitu di Merbau Chondong;Tok Bali; Bukit Chupak, Gua Musang; Chicha 2; dan Tanjong Mas bagi menampung keperluan pengguna di kawasan berkenaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tunggakan bil yang tidak dibayar masih tinggi, namun tunggakan berkenaan sedikit berkurangan berbanding ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 8:24 AM