IZANI (topi hitam) meninjau muka sauk LRA Kelar. FOTO Siti Rohana Idris
IZANI (topi hitam) meninjau muka sauk LRA Kelar. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Pasir Mas: Penduduk Tumpat dan Pasir Mas sudah mampu menarik nafas lega apabila kebimbangan mereka berhubung gangguan bekalan air menjelang Aidilfitri sudah berakhir.

Dua pam yang rosak Loji Rawatan Air (LRA) Kelar, Pasir Mas sudah dibaiki dan digantikan dengan pam sedia ada bagi membolehkan bekalan air kembali disalurkan ke 48,635 akaun pengguna di Pasir Mas serta Tumpat yang terjejas sejak beberapa hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani berkata, untuk LRA Kelar, ia menyalurkan sebanyak 80 juta liter sehari (MLD) kepada pengguna di Pasir serta Tumpat.

"Bagaimanapun dua pam yang berada dalam sungai itu rosak sejak 26 Mac lalu akibat mendapan pasir serta tanah dan pihak AKSB (Air Kelantan Sdn Bhd) segera membaiki serta menukar pam.

"Kelmarin kedua-dua pam itu sudah mula dipasang malah untuk di Tumpat juga kita sudah salurkan 2MLD air dari telaga tiub di Kampung Kuala Jambu membabitkan kira-kira 2,000 akaun.

"Secara rasmi semalam gangguan air di kedua-dua jajahan itu tamat malah penduduk juga tidak perlu bimbang mengenai masalah air menjelang Aidilfitri," katanya ketika sidang media, di muka sauk LRA Kelar, di sini, hari ini.

Izani berkata, tindakan segera juga sudah dan sedang dijalankan termasuk agihan air melalui lori tangki dan lain-lain operator menerusi permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara yang dibuat kelmarin.

Menurutnya, bantuan air membabitkan tujuh lori air daripada operator air negeri lain diberikan sejak semalam sehingga krisis bekalan air selesai antaranya dari Selangor, Terengganu, Pahang dan Melaka.

"Lima lori menyalurkan air di Pasir Mas manakala dua lagi di Tumpat dan kesemua khidmat tujuh lori tangki itu akan berakhir selewat-lewatnya 5 April ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 6:32 PM