GUBAHAN  Mohd  Airie Azely Abdullah  yang dihasikan dengan mengambil inspirasi persembahan Aina Abdul di pentas AJL. FOTO Ihsan Mohd Airie Azely Abdullah
GUBAHAN Mohd Airie Azely Abdullah yang dihasikan dengan mengambil inspirasi persembahan Aina Abdul di pentas AJL. FOTO Ihsan Mohd Airie Azely Abdullah
Redzuan Muharam


Kuala Terengganu: Hanya kerana berwajah maskulin membuatkan segelintir individu tidak percaya dengan kebolehan Mohd Airie Azely Abdullah, 33, dalam bidang pembuatan dan gubahan kek.

Hakikatnya, Mohd Airie yang menetap di Kampung Banggol Mempelam, di sini, sudah tujuh tahun mencari rezeki dengan mengambil tempahan membuat kek.

Anak kesembilan daripada 10 beradik itu mengakui pada awalnya tidak berminat dalam pembuatan dan gubahan kek, namun mengubah persepsi demi kelangsungan hidup.

Lama kelamaan, Mohd Airie semakin seronok hingga tekad menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan tetapnya.

"Sebelum ini, saya pernah bekerja sebagai tukang kebun, kemudian rakan ajak bekerja di kedai bakeri.

"Tiga tahun juga saya kerja di kedai bakeri itu sebelum berhenti untuk bantu jaga ayah yang menghidap barah usus.

"Ikutkan, saya tak pandai buat atau menggubah kek pun walaupun pernah kerja di kedai bakeri, namun mengenangkan nak cari duit, saya cuba belajar.

"Keluarga pun sokong, malah salah seorang kakak bantu pada awal pembabitan dengan membelikan ketuhar pembakar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, dia belajar cara pembuatan dan gubahan kek dengan menonton video di Youtube serta melihat hasil kerja individu lain.

"Saya tak tiru 100 peratus, tetapi olah ikut kreativiti sendiri. Mulanya memang susah, malah sampai 10 kali (buat kek) tak menjadi walaupun kek span saja. Tapi saya tak putus asa dan usaha sampai jadi.

"Dalam tempoh sebulan, saya sudah mahir. Awalnya dapat dua hingga tiga tempahan saja dalam sebulan, tetapi kini dalam 10 atau 15 biji kek seminggu.

"Saya hasilkan kek mengikut tempahan pelanggan, bukan setakat untuk majlis hari jadi atau perkahwinan saja, tetapi juga kek tiga dimensi (3D), salah satunya bentuk kepala kuda yang mengambil masa lima hingga enam untuk disiapkan," katanya.

Katanya, kebanyakan maklum balas diterima adalah positif, malah dia turut mendapat tempahan daripada pelanggan kenamaan (VIP).

"Tak ada rungutan, cuma ramai terkejut apabila dapat tahu saya buat kek terutama selepas kongsi video di laman sosial.

"Ia kerana mereka (warganet) cakap muka saya macam anggota polis dan 'mat motor' tapi pandai buat kek, seolah tak kena dengan rupa.

"Jujurnya saya pun macam tak sangka boleh buat, tapi puas apabila dapat siapkan sesuatu tempahan dan bersyukur dengan bakat dianugerahkan Allah," katanya.

Impian Mohd Airie adalah untuk terus menghasilkan lebih banyak kek dan gubahan menarik selain mencipta nama dalam bidang pembuatan kek.

"Kalau boleh, saya mahu tingkatkan lagi kemahiran dan lebih dikenali terutama di Terengganu sebagai lelaki yang mahir dalam pembuatan dan gubahan kek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 3:03 PM