Nabihah Kamal

 

Kajang: Kek nasi lemak? Kedengarannya aneh, tetapi ia kini menjadi 'trend' dan sudah ramai yang menempahnya untuk majlis tertentu. 

Pemilik RedD'zert Bakery Sofia Eianastasia, di sini, Soffian Chen, 28, berkata, dia menerima lebih 500 tempahan kek seperti itu setiap bulan sejak dua bulan lalu.

"Saya mula menghasilkan kek nasi lemak selepas ia tular di media sosial dua bulan lalu. Ternyata sambutan terhadap kek nasi lemak ini tinggi.  

"Sebagai peniaga kek, saya lihat ia adalah peluang untuk saya menambahkan menu sekali gus memperkenalkan makanan tradisi rakyat Malaysia itu dalam bentuk berbeza," katanya.

Menurut Sofia, dia menjual empat jenis kek nasi lemak dengan menu berbeza iaitu sambal sotong, ikan bilis, rendang serta udang. 

"Bagaimanapun, pelanggan boleh menempah apa-apa saja lauk yang mereka suka mengikut citarasa masing-masing. Kek nasi lemak yang saya hasilkan ada dua saiz yang berharga RM15 dan RM45," katanya.

Sofia berkata, dia turut menerima tempahan kek nasi lemak untuk dijadikan sebagai kek perkahwinan. 

"Terkejut juga apabila ada tempah kek nasi lemak sebagai pengganti kek kahwin, tetapi mungkin pengantin mahukan kelainan. Saya buat saja," katanya. 

Menurutnya, pembuatan kek itu perlu teliti supaya nampak kemas. 

"Nasi lemak tidak boleh sejuk ketika diletakkan di dalam acuan kek dan saya gunakan sambal sebagai pengganti krim putar yang kebiasaannya digunakan dalam kek. 

"Selain itu, nasi lemak memang sesuai jika dijadikan seperti kek kerana warnanya menarik ada hijau, merah dan coklat," katanya. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 8:07 PM
Sofia bersama kek nasi lemak yang dihasilkannya. FOTO Thomas
Sofia bersama kek nasi lemak yang dihasilkannya. FOTO Thomas