PELAJAR menggunakan kemudahan perhentian bas berkuasa solar yang disediakan di UiTM Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
PELAJAR menggunakan kemudahan perhentian bas berkuasa solar yang disediakan di UiTM Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Universiti Teknologi Mara (UiTM) melakukan pembaharuan mengagumkan apabila memperkenalkan Projek Perhentian Bas Berkuasa Solar UiTM Shah Alam untuk manfaat lebih 1,000 penuntut UiTM.

Sebanyak lapan perhentian bas kampus utama UiTM Shah Alam yang terpilih dinaiktaraf menerusi projek itu dilengkapi dengan bekalan tenaga solar untuk pencahayaan (lampu) dan kemudahan pengecasan USB yang mampu beroperasi selama 24 jam.

Pengarah Pusat Hijau UiTM (UGC), Profesor Datin Dr Arnis Asmat berkata, lapan perhentian bas itu dipilih berdasarkan beberapa faktor termasuk penerimaan pencahayaan matahari yang maksimum, reka bentuk bumbung hentian bas dan penggunaan oleh pelajar.

Menurutnya, projek itu hasil kerjasama di antara UGC bersama rakan strategik iaitu Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menaja pemasangan sistem solar berkenaan.

"Antara kelebihan Perhentian Bas Berkuasa Solar ini ianya menggunakan tenaga matahari sebagai sumber tenaga, mengurangkan jejak karbon dan pencemaran udara dan dapat mengurangkan kos tenaga dan pemeliharaan.

"Perhentian Bas Berkuasa Solar ini dapat memberikan nilai tambah dalam pemasangan peranti tambahan dan meningkatkan kesedaran pengurangan jejak karbon melalui penggunaan teknologi hijau di kalangan masyarakat.

"Melalui Projek Perhentian Bas Berkuasa Solar sekaligus dapat mempromosikan gaya hidup kampus yang mampan melalui pengurangan jejak karbon di kampus," katanya selepas Pelancaran Projek Perhentian Bas Berkuasa Solar yang disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor UiTM (Pembangunan), Profesor Dr Md Yusof Hamid di Perhentian Bas Dataran Cendekia, UiTM Shah Alam, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 1:16 PM