CHE Hussain (kanan) mendengar penerangan daripada wakil MCMC di Kampung Sungai Bayu Dalam. FOTO Paya Linda Yahya
CHE Hussain (kanan) mendengar penerangan daripada wakil MCMC di Kampung Sungai Bayu Dalam. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Penantian lebih 10 tahun penduduk Kampung Sungai Bayu Dalam di sini, mendapatkan liputan internet bakal tercapai apabila penempatan itu disenaraikan dalam Program Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi Fasa 2.

Penduduk, Che Hussain @ Che Ahmad Che Kob, 75, berkata, dia bersyukur apabila masalah yang dihadapi penduduk itu akhirnya mendapat perhatian pihak berwajib.

"Perasan saya sangat gembira kerana akhirnya kami akan dapat menikmati talian internet selepas 10 tahun tinggal di sini.

"Sebelum ini kami perlu keluar sejauh tiga kilometer untuk berhubung dengan anak-anak dan keluarga. Terima kasih kepada Ahli Parlimen dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Bayu, di sini, tadi.

Sementara itu Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata, dia gembira apabila pihak MCMC pantas bertindak menyelesaikan masalah penduduk di kawasan itu.

"Difahamkan perkampungan dihuni kira-kira 50 penduduk itu akan dimasukkan di bawah program Jendela yang memberikan akses internet percuma kepada penghuninya.

"Alhamdulillah masalah penduduk di perkampungan ini sudah menemui jalan penyelesaian. InsyaAllah penduduk boleh melayari internet percuma selepas ini," katanya selepas membuat tinjauan dan mendengar taklimat disampaikan pihak MCMC.

Turut hadir Pengarah MCMC Kelantan Hairudin Mohd Zin.

Terdahulu media melaporkan lebih 50 penduduk Kampung Sungai Bayu Dalam, di sini, terpaksa keluar kira-kira tiga kilometer melalui jalan ladang getah dan kelapa sawit yang berbatu bagi mendapatkan rangkaian telefon serta capaian internet untuk berhubung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 12:54 PM