GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Ampang: Dua anggota disyaki terbabit kes samun dan rogol remaja perempuan warga Uzbekistan dalam kenderaan peronda polis (MPV) di Bukit Ampang di sini minggu lalu akan dituduh esok.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (peras ugut) di Mahkamah Ampang.

Menurutnya, salah seorang suspek turut dituduh mengikut Seksyen 377C, Seksyen 377CA, dan Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

"Pertuduhan dijangka pada 2 petang esok dan kedua-dua anggota terbabit sudah dikenakan tindakan tahan kerja serta-merta.

"Polis menegaskan bahawa tiada siapa yang akan dilindungi jika terbabit dengan jenayah dan setiap kes akan disiasat serta mereka yang terbabit akan dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, dua anggota polis ditahan pada 10 Januari kerana disyaki terbabit kes samun dan rogol remaja perempuan warga Uzbekistan dalam MPV Polis di sekitar Bukit Ampang di sini.

Polis mengesahkan menerima dua laporan daripada lelaki dan remaja perempuan warga asing yang juga penuntut di sebuah kolej swasta.

Kejadian dipercayai berlaku pada 9 Januari, jam 10.09 malam ketika mangsa dan rakan lelakinya berada di Bukit Ampang View, ditahan oleh dua orang suspek lelaki yang lengkap beruniform.

Salah seorang suspek disyaki merogol mangsa manakala rakan lelakinya pula dibawa seorang lagi suspek ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang bagi membuat bayaran diminta kedua-dua suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 11:41 PM