Mohammad Khaled (tengah) melawat mangsa banjir di PPS SK Gembut, Tanjung Sedili di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Mohammad Khaled (tengah) melawat mangsa banjir di PPS SK Gembut, Tanjung Sedili di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah mengatur gerak Markas 7 Briged untuk penugasan pasca banjir di setiap kawasan terjejas di negeri ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, aset ATM juga akan digerakkan bersama-sama terutamanya untuk membantu dalam proses pemulihan terbabit.

"(Aset) dia akan ada dan bersama-sama membantu kerja-kerja pembersihan. Di setiap briged itu dia memang sudah ada kawasan-kawasan yang ditentukan.

"Setiap briged memang ada kawasan-kawasan yang ditentukan. Dia memang sentiasa ada, tentera (ATM) yang ada ini mereka ada bukan kerana saya ada di sini (sebagai Menteri Pertahanan), mereka (ATM) ada dalam satu kawasan banjir untuk melihat apa yang diperlukan, "katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gembut, Tanjung Sedili, Kota Tinggi hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, merasmikan pelepasan skuad sukarelawan banjir di Pusat Khidmat Rakyat di sini.

Katanya beliau menggalakkan badan sukarela untuk datang ke kawasan banjir, bukan saja membantu membersihkan kawasan, namun juga membantu untuk mangsa pulang ke rumah masing-masing.

"Kita juga mengalukan-alukan badan sukarela termasuk ATM yang akan mulakan kerja-kerja susulan daripada banjir terutama kerja-kerja pembersihan.

"Seperti yang kita maklum, di dalam daerah Kota Tinggi ini sebanyak 27 PPS telah dibuka dan hari ini syukur alhamdulillah kita dapat lihat keadaan bertambah baik dan sedikit demi sedikit PPS ditutup dan penduduk dibenarkan untuk balik," katanya.

Setakat jam 12 tengah hari, jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 4,972 mangsa daripada 1,387 keluarga yang ditempatkan di 34 PPS.

Keadaan banjir di Kota Tinggi semakin reda selepas jumlah mangsa banjir makin berkurangan kepada 3,763 mangsa daripada 1,034 keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 2:45 PM