Seorang buruh, Zulkefli Mohd Yatim, 62. dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 300.9 kilogram di Jalan Kebun Sultan pada Mac 2019. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Seorang buruh, Zulkefli Mohd Yatim, 62. dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 300.9 kilogram di Jalan Kebun Sultan pada Mac 2019. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Seorang buruh melakukan sujud syukur dalam kandang tertuduh selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 300.9 kilogram di Jalan Kebun Sultan pada Mac 2019.

Pada masa sama peguam tertuduh, Ahmad Nurie Ab Rahman turut melakukan sujud syukur di dalam mahkamah.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas pihak peguam bela berjaya menimbulkan satu keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap tertuduh, Zulkefli Mohd Yatim, 62.

Mohamad Abazafree menerusi alasan penghakiman berkata, mahkamah menilai semua aspek daripada kedua-dua pihak iaitu pendakwaan dan pembelaan.

"Berdasarkan keterangan, ketika tangkapan dilakukan tertuduh berada di tepi jalan dan tidak berada di dalam van yang mengandungi sejumlah dadah.

"Malah, van berkenaan bukan dimiliki oleh tertuduh sebaliknya diberi pinjam oleh individu lain kepada tertuduh. Justeru mahkamah mendapati orang lain turut boleh akses terhadap van berkenaan.

"Pada masa sama, tiada usaha pihak pendakwaan untuk mengesan dan pengesahan penama van berkenaan dan mahkamah turut mendapat keterangan tertuduh lebih kukuh.

"Justeru, mahkamah memutuskan pihak peguam bela berjaya membangkitkan keraguan munasabah dan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu," katanya.

Mengikut pertuduhan, Zulkefli didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 300.9 kilogram di Jalan Kebun Sultan pada Mac 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Aida Fatimah Abd Jabar dan tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nurie Ab Rahman dan Hajar Sahiras Zukefli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 3:11 PM