Tertuduh, Wan Mohd Azrul Che Hussain, 34, bersama peguam, Datuk Geethan Ram Vincent dan Revin Kumar selepas dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 1,388.28 gram, pada Mei 2021. FOTO Hidayatidayu Razali.
Tertuduh, Wan Mohd Azrul Che Hussain, 34, bersama peguam, Datuk Geethan Ram Vincent dan Revin Kumar selepas dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 1,388.28 gram, pada Mei 2021. FOTO Hidayatidayu Razali.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang buruh dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 1,388.28 gram (g), pada Mei 2021.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas mendapati barang kes bukan dalam milikan tertuduh, Wan Mohd Azrul Che Hussain, 34.

Dalam penghakimannya, Mohamad Abazafree, berkata pihak pendakwa raya gagal membuktikan tertuduh mempunyai akses ke atas kediaman iaitu di apartmen di Jalan Sri Cemerlang di mana barang kes dijumpai.

"Ketika tangkapan tertuduh berada di rumah keluarganya di Bachok, manakala barang kes dijumpai di lokasi lain iaitu di apartmen.

"Pada masa yang sama, beg yang mengandungi barang kes juga bukan berada dalam kawalan serta jagaan tertuduh.

"Oleh demikian, mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes, maka Wan Mohd Azrul dibebaskan dan dilepaskan tanpa perlu membela diri," katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 1,388.28 g Methamphetamine bertempat di sebuah rumah di Sri Cemerlang di sini, jam 1.10 tengah hari, 5 Mei 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati hendaklah dipenjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent dan Revin Kumar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 3:54 PM