Seorang peniaga Noor Hesham Hamid, 42, (kiri baju putih) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 97 gram di Tanah Merah pada November 2018. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Seorang peniaga Noor Hesham Hamid, 42, (kiri baju putih) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 97 gram di Tanah Merah pada November 2018. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Peniaga dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 97 gram di Tanah Merah pada November 2018.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Noor Hesham Hamid, 42, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan di akhir pembelaan.

Mohamad Abazafree berkata, mahkamah mendapati keterangan tertuduh adalah penafian semata-mata, tidak konsisten, bersifat rekaan termasuk soal pemilikan dadah yang dirampas.

"Sebagai contoh, ketika serbuan dilakukan di sebuah rumah, tertuduh mendakwa terdapat dua individu lain bersamanya, namun sehingga kini tiada bukti sah selain tiada pengenalan diri dua individu yang didakwa itu.

"Justeru, kita mendapati tertuduh sengaja mereka cerita dan kecurigaan itu nyata. Mahkamah tiada pilihan dan tertuduh dihukum dengan hukuman mati dan akan ditahan sehingga satu tarikh sebelum digantung," katanya dalam penghakiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis berbahaya iaitu 97 gram Methamphetamine di tepi jalan di Taman Manal Jaya, Tanah Merah pada 8.30 malam, 26 November 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad dan tertuduh diwakili peguam, Ridzuan Mohamad.

Terdahulu, Ridzuan memohon hukuman diringankan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh perlu menyara ibu yang uzur serta sakit selain anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Bagaimanapun, Norazlinawati memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat luar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 1:17 PM