ZAKi Harun (dua kiri) bersama Ketua Agensi Penguatkuasa Sempadan Malaysia - Thailand mengadakan Mesyuarat Pelarasan Risikan Sempadan sempena OP Taring Wawasan Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ZAKi Harun (dua kiri) bersama Ketua Agensi Penguatkuasa Sempadan Malaysia - Thailand mengadakan Mesyuarat Pelarasan Risikan Sempadan sempena OP Taring Wawasan Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Polis Kelantan akan mempergiatkan risikan di kawasan sempadan bagi membasmi kemasukan dadah dan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, ia akan dilakukan menerusi kerjasama agensi kawalan sempadan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain bekerjasama dengan kerajaan tempatan.

Katanya, sepanjang 2024, pihaknya turut merancang perubahan strategi dalam menangani isu berkaitan sejajar dengan tindakan penyeludup yang mungkin mengambil langkah berbeza bagi menjalankan kegiatan mereka.

"Kita menjangkakan sindiket penyeludupan dadah akan berterusan justeru polis sedaya-upaya memberi fokus sepenuhnya bagi mengatasi kegiatan berkenaan terutama di sempadan Malaysia-Thailand.

"Malah, sepanjang tahun lalu melalui Ops Taring Wawasan Kelantan, kumpulan Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan pelbagai kes di bawah Akta Dadah Berbahaya bernilai RM40 juta membabitkan tangkapan 196 suspek.

"Oleh itu, kita mengharapkan agar lebih banyak kegiatan penyeludupan dadah dapat ditumpaskan seiring dengan fokus utama pihak kami di sepanjang tahun ini," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Bersama Agensi Penguat Kuasa Sempadan di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Lubok Stol, di sini, hari ini.

Hadir sama, Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar.

Muhammad Zaki berkata, berkaitan isu Pati, pihaknya mendapati warga Myanmar dan etnik Rohingya menjadi kumpulan terbesar yang ditahan sepanjang tahun lalu membabitkan tangkapan seramai 645 individu.

"Situasi dipercayai berlaku susulan pergolakan di negara berkenaan seterusnya memaksa mereka melarikan diri bagi mendapatkan perlindungan serta peluang pekerjaan.

"Selain itu, baru-baru ini pihak kami turut bekerjasama dengan JIM menjalankan operasi membanteras warga asing di sekitar bandar Kota Bharu yang turut digelar 'mini Dhaka.

"Kebanyakan daripada warga asing berkenaan mempunyai dokumen lengkap, namun kita faham akan kegusaran masyarakat setempat yang tidak selesa dengan kehadiran ramai kumpulan berkenaan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 4:41 PM