SUPERITENDEN Mat Shukor Yusof pada sidang mengenai Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8)
SUPERITENDEN Mat Shukor Yusof pada sidang mengenai Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8)
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Selain berhadapan dengan pelbagai cabaran menjaga sempadan negara daripada aktiviti penyeludupan, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) turut 'berperang' dengan jangkitan Covid-19.

Pegawai Pemerintah PGA8 Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, anggotanya juga tidak terlepas daripada dijangkiti wabak berkenaan sepanjang bertugas, namun tidak menjadikan ia alasan untuk mereka terus memberi khidmat terbaik menjaga sempadan Malaysia-Thailand.

Menurutnya, di sebalik pelbagai kejayaan dicipta dalam menumpaskan kegiatan penyeludupan, ada sahaja anggota yang 'tewas' dengan wabak Covid-19 tetapi kesemua mangsa berada dalam keadaan terkawal.

"Kami di Batalion 8 PGA turut menyediakan rumah transit kuarantin khusus di Kem PGA8, Pengkalan Chepa di Kota Bharu buat anggota yang mengalami gejala seperti demam, batuk dan selsema untuk mereka berehat dan kembali pulih.

"Proses sanitasi dan pembersihan keseluruhan dilakukan di setiap pos atau markas taktikal, setiap kali batalion dalam Briged Tenggara bertukar tugas bagi memastikan keadaan sentiasa bersih selain mengelak penularan wabak.

"Anggota sentiasa berhadapan dengan orang ramai dan penyeludup, begitu juga pendatang tanpa izin (Pati) yang ditahan, sekali gus memberi risiko jangkitan buat mereka," katanya.

Beliau ditemui ketika sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Lubok Stol di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mat Shukor mendedahkan kegiatan penyeludupan Pati yang sering berlaku susulan kegiatan ekonomi mula dibuka selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kebanyakan Pati yang ditahan adalah dari negara jiran disyaki untuk bekerja di restoran seluruh negara. Mereka juga menggunakan taktik membawa Pati menaiki kereta mewah seperti Toyota Alphard bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Justeru, pihak kami perlu sentiasa peka dengan strategi baru dalam kalangan tekong, agar penyeludupan Pati dapat dikekang seterusnya mengurangkan risiko penularan wabak daripada kumpulan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 3:19 PM