Sheik Azahar menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada pesara polis, Mahasan Yasin, 63, (kiri) dan Shamsuri Mohamad, 66, (kanan) di Majlis Himpunan Pesara Pasukan Polis Hutan (PPH), PGA, VAT69 dan Senoi Praaq di Batalion 8 PGA (PGA8) di Pengkalan Chepa. FOTO Hidayatidayu Razali
Sheik Azahar menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada pesara polis, Mahasan Yasin, 63, (kiri) dan Shamsuri Mohamad, 66, (kanan) di Majlis Himpunan Pesara Pasukan Polis Hutan (PPH), PGA, VAT69 dan Senoi Praaq di Batalion 8 PGA (PGA8) di Pengkalan Chepa. FOTO Hidayatidayu Razali
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pasukan Gerakan Am (PGA) memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 144 kilometer termasuk menggunakan dron bagi mengekang penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Sheik Azahar Sheik Omar berkata, seramai 400 anggota termasuk pegawai ditugaskan di sepanjang Sungai Golok dari Batu Melintang, Jeli sehingga Pengkalan Kubor, Tumpat.

"Kita tingkatkan operasi bagi mengawal kemasukan Pati dari Myanmar, Bangladesh dan sebagainya termasuk warganegara Pakistan.

"Mengikut maklumat, Pati dari negara terbabit dan juga warga Pakistan yang mempunyai pasport (sah memilih) masuk melalui Sungai Golok menerusi pangkalan haram dan lorong tikus.

"Justeru, kita memperketatkan kawalan untuk mengekang kemasukan mereka. Selain itu, kawalan juga untuk memastikan tiada kes penyeludupan kontraban termasuk di musim tengkujuh yang akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Himpunan Pesara Pasukan Polis Hutan (PPH), PGA, VAT69 dan Senoi Praaq di Batalion 8 PGA (PGA8) di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Seramai 450 pesara polis dari seluruh negara bersama isteri hadir di majlis itu dan empat pesara polis yang sakit diberi bantuan kerusi roda.

Mengulas lanjut, Sheik Azahar berkata, kawalan sempadan itu turut menggunakan bantuan dua unit dron dan akan ditambah dalam masa terdekat.

"Selain itu, Unit Khas Platun Tiger dari PGA turut membantu membuat kawalan di sempadan negara," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Pati dari Pakistan yang diseludup masuk ke negara melalui sempadan Malaysia-Thailand, di sini, dikesan mempunyai pasport sah tetapi enggan direkodkan masuk ke negara ini.

Mendedahkan taktik itu, Sheik Azahar percaya kumpulan Pati dari negara terbabit ada perancangan tertentu sehingga memilih masuk ke Malaysia dengan cara demikian.

Pada perkembangan lain, Sheik Azahar berkata, sebanyak 16 pos statik di sepanjang Sungai Golok kini dalam proses baik pulih dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM2 juta.

"Proses membaik pulih itu dijalankan secara berperingkat dan sudah bermula awal bulan ini termasuk dari segi infrastruktur seperti bilik dan kemudahan air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 4:02 PM