Jabatan
Jabatan
Mohd Rafi Mamat


Pekan: Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) Pekan dijangka mengambil masa 48 jam untuk menyedut air termenung di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, dekat sini.

Jurutera Daerah JPS Pekan, Nik Mohd Fariz Zamani berkata, satu unit pam disediakan oleh Bahagian Mekanikal JPS Pahang dan operasi menyedut air yang sudah berbau busuk bermula hari ini.

Menurutnya, operasi menyedut air untuk disalurkan keluar dari kawasan sekolah dilakukan secara berterusan tanpa henti selama lima hingga enam jam.

"Banjir di SK Temai berlaku pada 27 Disember tahun lalu akibat limpahan air Sungai Pahang yang terletak beberapa meter dari kawasan sekolah.

"Disebabkan terlalu lama kejadian air termenung membuatkan air yang kini sedalam 0.48 meter menjadi busuk dan kotor," katanya dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, sekiranya hujan lebat berlaku di kawasan itu dan paras air Sungai Pahang meningkat, tidak mustahil paras air termenung akan meningkat dan operasi mengepam mengambil masa lebih panjang lagi.

Mohd Fariz berkata, sekiranya keadaan memerlukan, operasi mengepam air termenung turut dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai, dekat sini.

"Saya difahamkan sesi persekolahan di SK Temai tidak dapat dimulakan demi keselamatan murid, selepas air termenung surut sepenuhnya kerja mencuci kotoran akan dilakukan sebelum persekolahan dapat dimulakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 3:56 PM