Keadaan Sekolah Kebangsaan (SK) Temai yang masih terdapat 'air termenung. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Keadaan Sekolah Kebangsaan (SK) Temai yang masih terdapat 'air termenung. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Asrol Awang

Pekan: Sekolah Kebangsaan (SK) Temai di sini, yang terjejas banjir sejak 27 Disember lalu dijangka beroperasi secara bersemuka pada Isnin depan.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Shafruddin Ali Hussin berkata, ia susulan sekolah berkenaan masih ditenggelami air sedalam 0.48 meter.

Menurutnya, semua murid tidak berdepan masalah dalam pembelajaran kerana dilaksanakan secara Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) sebaik sesi persekolahan dibuka Selasa lalu.

"Tidak ada keciciran dari segi pembelajaran membabitkan murid SK Temai kerana pelaksanaan secara PdPR berdasarkan pengalaman ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) membolehkan guru bersedia lebih awal.

"Setakat ini, hanya SK Temai yang tidak boleh beroperasi, manakala semua sekolah di seluruh negara beroperasi secara bersemuka," katanya.

Shafruddin berkata demikian kepada media selepas meninjau keadaan air termenung di SK Temai di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama 46 orang daripada Pasukan Sukarelawan Biro Sosial dan Kebajikan Persatuan Sukan dan Kebudayaan (MESCA), Kementerian Pendidikan (KPM) mengadakan gotong-royong membersihkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai di sini, yang turut terjejas banjir.

SMK Paloh Hinai akan beroperasi sepenuhnya esok kerana sejak beroperasi Selasa lalu, sesi pembelajaran secara bersemuka membabitkan pelajar tingkatan empat dan lima, manakala pelajar tingkatan satu hingga tiga dilaksanakan secara PdPR.

Mengulas keadaan air termenung di SK Temai itu, beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengepam keluar air di sekolah itu pada petang ini.

"Sebaik selesai mengepam, sekolah itu akan dibersihkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan PPD Pekan sebelum murid kembali meneruskan sesi pembelajaran di sekolah," katanya.

SK Temai mula ditenggelami air pada paras 0.9 meter pada 27 Disember lalu.

Seramai 15 guru mengajar di sekolah itu membabitkan 128 murid tahun satu hingga enam.

Pegawai Pendidikan Daerah Pekan Mohd Razali Mustafa berkata, jika masih belum dapat beroperasi pada Isnin depan, murid sekolah itu akan ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Temai Hulu untuk mengambil Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 2:20 PM