WAHAB Mat Yasin, dan Khirudin Drahman menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cermerlang di Raia Hotel Kuching. FOTO Nadim Bokhari
WAHAB Mat Yasin, dan Khirudin Drahman menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cermerlang di Raia Hotel Kuching. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merancang mewujudkan sekurang-kurangnya lima pangkalan udara baharu selaras dengan matlamat pasukan penyelamat itu untuk meningkatkan keupayaannya mengubah masa tindak balas ke lokasi insiden dalam tempoh lapan minit, berbanding 10 minit ketika ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, antara lokasi pangkalan udara baharu yang dirancang ialah di Johor bagi Zon Selatan, Terengganu atau Pahang bagi Zon Timur, Sabah serta satu pangkalan tetap di Sarawak.

"Ketika ini, JBPM memiliki dua pangkalan udara di Semenanjung iaitu di Bertam, Pulau Pinang bagi Zon Utara dan Subang di Selangor bagi Zon Tengah manakala satu pangkalan sementara di Borneo iaitu di Miri, Sarawak.

"Kita merancang untuk membina semua pangkalan udara baharu itu dalam Rolling Plan keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), namun ia bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan.

"Selain itu, kita juga berdepan kekangan untuk mendapatkan tanah sesuai daripada kerajaan negeri bagi membina pangkalan udara itu, misalnya bagi memindahkan Pangkalan Udara Miri ke Kuching, kita masih belum memperoleh tanah sesuai yang berdekatan dengan lapangan terbang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba 2020 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 JBPM Sarawak di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah JBPM Sarawak Datuk Khirudin Drahman serta timbalannya, Tiong Ling Hii.

Mengulas lanjut, Abdul Wahab berkata, berikutan kesukaran mendapatkan tanah sesuai di Kuching, pihaknya kini berusaha untuk memindahkan Pangkalan Udara di Miri ke Sibu.

"Sibu dilihat sesuai berikutan kedudukannya di tengah Sarawak dan ia akan memudahkan lagi liputan penugasan pesawat kita ke seluruh Sarawak.

"Ketika ini, kita menyewa hangar di Miri bagi menempatkan pangkalan udara JBPM di Borneo kerana penugasannya meliputi Sarawak dan Sabah.

"Tetapi, apabila pangkalan baharu dibina di Sarawak, kita juga akan membina satu pangkalan di Sabah. Kita sudah berbincang dengan Ketua Menteri Sabah bagi mendapatkan tanah berdekatan lapangan terbang di negeri itu," katanya.

Berkaitan perolehan pesawat baharu, Abdul Wahab berkata, pihaknya merancang untuk mendapatkan empat helikopter baharu dalam RP4 dengan dua daripadanya bersaiz besar seperti Mi-17 manakala dua lagi helikopter Agusta bersaiz sederhana dan kecil.

Menurutnya, perolehan helikopter baharu itu termasuk bagi keperluan helikopter ambulans 'Emergency Medical Air Ambulance Rescue Services' (EMARS).

"Selain Mi-17, ketika ini, kita memiliki helikopter besar iaitu Agusta 189, helikopter sederhana Agusta 139 dan helikopter kecil Agusta 109.

"JBPM baru sahaja melancarkan perkhidmatan helikopter ambulans EMARS di Semenanjung dan memerlukan satu lagi helikopter Agusta 109 untuk keperluan unit sama di Sarawak dan Sabah pula," katanya.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata, JBPM memerlukan lebih 500 balai baharu seluruh negara bagi memastikan keupayaan perkhidmatan maksimum.

"Sekarang, JBPM mempunyai 336 balai bomba di seluruh negara dan usaha untuk menambah lebih banyak lagi sedang diusahakan dalam RP4 RMke-12.

"Di Sarawak misalnya, kita memerlukan 21 balai bomba baharu dan pembinaannya sedang dalam pertimbangan jabatan namun tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa kerajaan," katanya.

Menurutnya lagi, Sarawak memiliki paling banyak balai bomba dengan jumlah yang ada ketika ini iaitu 38 balai di 46 daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 2:18 PM