Penduduk Taman Korperat , Bukit Keluang mengangkut air daripada tangki statik SATU selepas berlaku gangguan bekalan air sekitar kawasan Kampung Raja serta Bukit Keluang, Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Penduduk Taman Korperat , Bukit Keluang mengangkut air daripada tangki statik SATU selepas berlaku gangguan bekalan air sekitar kawasan Kampung Raja serta Bukit Keluang, Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: Segelintir penduduk yang berdepan gangguan bekalan air membabitkan kawasan Kampung Raja serta Bukit Keluang di sini, hampir seminggu lalu sanggup mengangkut air seawal 4 pagi dari tangki statik Syarikat Air Terengganu (Satu).

Seorang penduduk Taman Mawaddah Nur Anisah Mohd Zamri, 24, berkata, dia bersama kedua orang tuanya akan keluar seawal 4 pagi untuk mengisi air serta mengangkut bekas berisi air pulang ke rumah.

Menurutnya, keadaan itu sudah berlarutan sejak Jumaat lalu selepas pihak Satu meletakkan tangki statik di beberapa kawasan.

"Jika diikutkan gangguan ini bermula sejak awal pagi Khamis lalu namun kebanyakan rumah masih mempunyai simpanan air dalam tangki.

"Buat masa sekarang kami akan mengangkut air sekurang-kurangnya tiga kali sehari untuk keperluan isi rumah terutamanya mandi serta memasak," katanya ketika ditemui di Bukit Keluang, Kampung Raja di sini, hari ini.

Penduduk Taman Korperat Che Nazilah Che muda, 35, berkata, ketiadaan bekalan air dalam tempoh lama turut menyukarkannya untuk melakukan aktiviti seharian.

Menurutnya, dia mempunyai dua orang anak yang bersekolah rendah serta bayi berusia 10 bulan.

"Saya terpaksa berulang-alik mengangkut air dengan menunggang motosikal untuk kegunaan harian keluarga.

"Hari ini pula bermula hari pertama persekolahan dan saya terpaksa mengehadkan penggunaan air yang disimpan untuk anak-anak mandi ke sekolah.

"Nak bancuh susu untuk anak juga terpaksa beli air minuman dari kedai, saya juga tumpang basuh baju di rumah ahli keluarga yang tinggal di kawasan tidak terjejas gangguan bekalan air," katanya.

Penduduk Taman Korperat, Tuan Mohd Khafid Tuan Azmi, 40, pula berkata, dia bernasib baik kerana bekerja sendiri serta tidak terikat dengan masa untuk membantu keluarga mengangkut air.

Katanya, selalunya waktu kemuncak orang ramai keluar mengisi air pada 6 petang selepas pulang dari kerja.

"Lori air datang mengisi air tidak mengira waktu, kadang-kala kami terpaksa menunggu lori datang semula kerana air dalam tangki statik sudah habis diambil orang ramai.

"Kami berharap proses membaiki paip pecah berhampiran Jambatan Kampung Lampu dapat dilaksanakan dalam tempoh singkat serta siap lebih awal daripada jangkaan pada 21 Januari depan," katanya.

Seorang lagi penduduk Taman Korperat, Mohd Naqiuddin Rashid, 36, berkata, walaupun tangki statik itu boleh digunakan dalam tempoh 24 jam namun bergantung kepada kapasiti air yang berada dalam tangki.

"Selalunya air dalam tangki habis selepas beberapa jam lori datang mengisi air kerana orang ramai akan datang beramai-ramai untuk mengisi air," katanya.

Berdasarkan kenyataan pihak Satu, gangguan bekalan membabitkan Tangki Air Bukit Keluang menjejaskan 2,670 akaun pengguna membabitkan 11 kampung dijangka berlarutan selama 21 hari.

Ia berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 600 milimeter (mm) di dasar Sungai Besut berhampiran Jambatan Kampung Lampu dan gangguan bekalan air berlaku sementara kerja pembaikan dilakukan kontraktor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 3:20 PM