Bekalan air minuman tiba di Muadzam Shah untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas bekalan air. Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar Pahang
Bekalan air minuman tiba di Muadzam Shah untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas bekalan air. Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar Pahang
Asrol Awang

Kuantan: Kerajaan negeri menghantar 141,600 botol air minuman kepada penduduk di Keratong, Ibam dan Muadzam Shah di Rompin yang terjejas bekalan air sejak 7 Julai lalu.

Pejabat Menteri Besar Pahang dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan setiap botol 1.5 liter air itu atau jumlah keseluruhan 212,400 liter dihantar untuk diagihkan bagi kegunaan penduduk terbabit selain tambahan 150 botol berisi 10 liter setiap satu.

"Penghantaran dibuat menerusi lori milik Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Daerah Rompin (MDR) dan swasta.

"Ia turut disalurkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ibam dan Muadzam Shah untuk diagihkan kepada penduduk terbabit," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan sebanyak 195 tangki air statik ditempatkan di kawasan tertentu, manakala air dibekalkan menerusi lebih 20 lori tangki.

Menurutnya, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang diiringi Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail perkenan berangkat ke kawasan terjejas kelmarin.

Difahamkan, gangguan bekalan air itu berlaku berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Keratong tidak dapat beroperasi susulan berlaku pencemaran di Sungai Pukin, Rompin.

Ia menyebabkan sebanyak 11,500 akaun pengguna terjejas bekalan air bermula 7 Julai lalu.

Dalam menjalankan kerja pemulihan, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) mengambil tindakan segera dengan menyediakan penghantaran air bersih kepada pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 9:41 AM