Mohd Nur Szawan (kiri) dan sepupunya, Mohd Nur Izazzudin menyelamatkan kucing jiran yang terperangkap dalam rumah akibat banjir. FOTO Ahmad Ismail
Mohd Nur Szawan (kiri) dan sepupunya, Mohd Nur Izazzudin menyelamatkan kucing jiran yang terperangkap dalam rumah akibat banjir. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


TIDAK sanggup membiarkan kucing kelaparan kerana terperangkap di rumah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), dua sepupu menahan sejuk meredah air bagi menyelamatkan haiwan peliharaan milik jiran mereka di sekitar Kampung Pogoh 2, Segamat, Johor sejak Khamis lalu.

Menyedari ada jiran memiliki kucing dan pemiliknya tidak sempat menyelamatkan haiwan peliharaan berkenaan , Mohd Nur Szawan Razak, 22 dan Mohd Nur Izazzudin Esa, 17, memulakan misi mulia itu dengan meredah banjir sedalam 0.5 meter.

Mohd Nur Szawan juga kakitangan swasta berkata, beberapa jirannya terdiri daripada warga emas mengosongkan kediaman kerana ditempatkan di PPS sejak kediaman mereka dilanda banjir Khamis lalu.

Katanya, ada dalam kalangan jirannya yang memiliki kucing namun disebabkan mungkin dalam keadaan tergesa-gesa meninggalkan rumah, ada yang terlupa untuk menyelamatkan haiwan peliharaan mereka itu.

"Oleh itu saya dan Izazzudin mengambil inisiatif menyelamatkan kucing-kucing milik jiran itu yang terperangkap di atas rumah dan ada yang kesejukan serta kelaparan.

"Bagi kucing yang agak agresif, kami tinggalkan makanan untuk mereka manakala kucing yang jinak dibawa pulang untuk jagaan sementara dan akan diserahkan semula kepada pemiliknya apabila mereka kembali ke kediaman masing-masing," katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, ada juga kucing yang diselamatkan itu dibawa dan diserahkan kepada pemiliknya yang berada di PPS.

Mohd Nur Szawan berkata, selain berdepan dengan kucing yang agresif kerana ketakutan, dia dan Izazzudin turut terpaksa memanjat ke atas bumbung rumah setinggi lebih dua meter untuk mengambil kucing yang terperangkap dan kesejukan.

"Alhamdulillah setakat ini kami berjaya menyelamatkan tidak kurang 10 kucing milik penduduk yang terjejas banjir di Kampung Pogoh 2 ini," katanya.

Katanya, kebiasaannya mereka melakukan misi menyelamat haiwan berkenaan bermula jam 10 pagi dan berlarutan beberapa jam kemudian, malah hingga jam 10 malam dengan mengharungi banjir.

"Kami sedar dengan risiko dihadapi seperti ancaman binatang berbisa dan air deras, tetapi syukur setakat ini kami berdua dijauhi daripada sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 4:04 PM