Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

GANJARAN antara 500 hingga 2,000 baht (RM66 hingga RM263) akan diberikan kepada penduduk tempatan, terutama yang tinggal di luar bandar di Thailand, untuk membuka akaun bank yang baharu.

Mereka tanpa ragu menyerahkan semua maklumat termasuk nombor pin mesin wang automatik (ATM) dan maklumat lain seperti kata laluan bagi e-perbankan kepada “orang yang bertanggung-jawab” tanpa menyedari bahawa mereka sebenarnya menjadi keldai akaun bagi sindiket haram.

Tawaran ini nampaknya “lumayan” bagi golongan miskin di luar bandar. Tetapi tidak lama kemudian, mereka terheret dalam masalah besar apabila akaun bank atas nama mereka itu didapati digunakan oleh sindiket bagi melakukan transaksi kegiatan haram termasuk penipuan, pengubahan wang haram serta jenayah ekonomi.

Panglima Pasukan Imigresen 3 Polis Diraja Thailand, Pol Maj Gen Archayon Kraithong berkata, sekurang-kurangnya 500 keldai akaun menjadi mangsa sindiket penipuan di Thailand, sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, mangsa akan dibayar bergantung kepada jumlah akaun baharu yang mereka buka dan apabila si penipu mendapatkan butiran akaun bank, mereka menghilangkan diri.

“Dalam siasatan terhadap kes penipuan ini , kami mendapati ramai penduduk tempatan yang diupah untuk membuka akaun bank. Apabila kami soal, mereka sendiri terkejut dan tidak mengetahui bahawa tujuan akaun itu adalah untuk kegiatan haram termasuk penipuan, katanya kepada BERNAMA.

Beliau menambah modus operandi sindiket itu tidak meninggalkan sebarang jejak bagi siasatan kes penipuan.

Archayon yang juga setiausaha Pasukan Petugas Bertindak bagi Jenayah Penindasan Teknologi Maklumat Thailand (Tactics) berkata, orang awam tidak memahami akibat dan implikasinya menjadi kedai pemegang akaun termasuk menghadapi caj jenayah.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada orang yang tidak dikenali bagi mengelak daripada terjerumus dalam perangkap penipuan.

Archayon berkata, e-wang atau e-perbankan adalah taktik ‘terlicik’ bagi penipu untuk menghisap darah mangsa.

Kalau sebelum ini terdapat ‘kuda’ yang menunggu di hadapan mesin ATM tetapi kini si penipu memerlukan beberapa klik sahaja untuk memindahkan wang.

Menggunakan modus operandi yang sama, beliau berkata, sindiket penipuan akan memaklumkan mangsa bahawa polis atau waran mahkamah dikeluarkan terhadap mereka dan mangsa perlu membuktikan mereka tidak bersalah dengan membuka akaun e-perbankan baharu.

“Oleh kerana panik dan takut, mangsa akan mengikuti arahan. Penipu akan melatih mangsa untuk menyediakan kata laluan untuk tujuan pemantauan. Mangsa hanya membuat laporan kepada pihak berkuasa apabila mereka menyedari wang mereka hilang beberapa jam kemudian,” katanya.

Statistik menunjukkan 260.4 juta baht sudah “disedut” oleh sindiket pusat panggilan dari Disember 2017 hingga Mei tahun ini dan 551 suspek sudah ditangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 8:01 PM