Othman Mamat

Azaz (Syria): Senyuman jelas terukir pada wajah lebih 400 anak pelarian dalam negara (IDP) Syria apabila berpeluang mengikuti pembelajaran formal secara lebih selesa dan sempurna sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Ini berikutan pembukaan Sekolah Malaysia Econsave MyCare di perkampungan pelarian Ataa Relief di sini, sejak September lalu.

Sekolah berkenaan dibina dengan kos RM1 juta yang berjaya dikumpul Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dan Pasar raya Econsave Cash & Carry melalui kutipan derma daripada rakyat Malaysia yang prihatin.

Majlis perasmian sekolah berkenaan disempurnakan oleh bersama oleh Ahli Pemegang Amanah MyCare Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar dan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave Mas Imran Adam pada majlis sederhana tetapi meriah di sini, pada Selasa lalu.

Turut hadir Pengurus MyCare Johor Mohd Rozi Abdul Ghani, pemimpin masyarakat tempatan, keluarga murid sekolah berkenaan serta sukarelawan dan petugas media Malaysia.

Dr Mohd Zin berkata, Sekolah Malaysia di Azaz itu adalah sekolah kedua dibina oleh MyCare dan Econsave selepas sekolah yang pertama dibina khusus untuk anak yatim di Semenanjung Gaza pada 2018 dengan kos RM2.6 juta.

Beliau berkata, MyCare akan terus bekerjasama dengan Econsave bagi membina sebuah lagi sekolah di Yaman, dengan kos sekitar RM1 juta tidak lama lagi.

"Kami memfokuskan bidang pendidikan kerana ia penting dan hak semua dalam membina kehidupan.

"Ini juga ada dinyatakan dalam konteks agama iaitu usaha meningkatkan aspek jati diri, masyarakat dan keluarga.

"Mungkin ada projek lain nanti kerana permintaan banyak. Selepas ini mungkin kita akan usahakan bina kolej atau universiti pula. Malaysia boleh menjadi inspirasi di negara bergolak.

"Kita boleh eksport kepakaran dan kekuatan Malaysia ke negara ini.

"MyCare dan Econsave akan bekerjasama dengan semua pihak sama ada dengan kerajaan atau bukan kerajaan untuk merealisasikannya," katanya kepada pemberita selepas perasmian sekolah berkenaan.

Mas Imran pula berkata, sekolah berkenaan berjaya dibina dalam masa setahun dan mempunyai 11 bilik kelas yang dapat menampung lebih 400 murid.

Sekolah terbabit dikendalikan oleh 14 tenaga pengajar sepenuh masa. Gaji mereka dibiayai oleh kerajaan Turkiye.

MyCare dan Econsave kini dalam misi kemanusiaan bagi menyampaikan bantuan musim sejuk di Syria, Yaman, Mesir dan Palestin yang bermula dari 18 Disember lalu sehingga 31 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 5:48 PM