Bakri Sawir (tengah) dan S Veerapan (kiri) melihat air sisa kumbahan sebuah ladang ternakan ayam yang didakwa masuk  ke dalam Sungai Air Salak di Kampung Batang Rokan, Gemencheh. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Bakri Sawir (tengah) dan S Veerapan (kiri) melihat air sisa kumbahan sebuah ladang ternakan ayam yang didakwa masuk ke dalam Sungai Air Salak di Kampung Batang Rokan, Gemencheh. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Tampin: Pemilik ladang ternakan ayam di Kampung Batang Rokan, Gemencheh yang menyebabkan Sungai Air Salak tercemar diberi tempoh tujuh hari untuk membersih dan menambah baik sistem kumbahan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata pengusaha ladang itu juga bakal dikenakan kompaun mengikut Seksyen 29 Enakmen Kawalan dan Pelesenan Penternakan Unggas dan Aktiviti Berkaitan Penternakan Unggas (EKPPUABPU) 1996.

Menurutnya, ia berikutan pemilik ladang ternakan ayam itu didapati melepaskan sisa kumbahan ke dalam sungai, parit dan anak air.

"Tinjauan mendapati pencemaran dipercayai berlaku apabila ayam yang mahu dijual dibersihkan sebelum sisa seperti najis mengalir ke parit seterusnya masuk ke sungai.

"Berikutan itu Badan Kawal Selia Air (BKSA ) Negeri Sembilan turut mengeluarkan notis mengikut Seksyen 7A Larangan Pencemaran Sungai, Akta Air 1920," katanya ditemui selepas meninjau ladang ternakan ayam berkenaan, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Negeri Sembilan, S Veerapan; Pengarah Veterinar Negeri Sembilan, Dr Redzuan Ibrahim; Pengarah BKSA Normayasuria Abd Malekdan Penyelaras DUN Gemencheh, Abd Latif A Tambi.

Bakri berkata, pemilik ladang tidak dibenarkan memulakan kerja menternak ayam baharu sehingga agensi berkaitan berpuas hati dengan tindakan pembaikan yang diambil.

Sementara itu, Veerapan berkata Jabatan Alam Sekitar ( JAS ) Negeri Sembilan sudah mengambil sampel air Sungai Air Salak dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Katanya laporan dijangka akan diperolehi dalam masa dua hingga empat minggu.

"Semakan juga mendapati pihak ladang turut didenda RM210,960 pada 16 Julai lalu ketika proses pemutihan dijalankan di negeri ini namun diberi lesen sementara untuk beroperasi," katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan pencemaran Sungai Air Salakyang didakwa penduduk Kampung Batang Rokan akibat sisa kumbahan dari ladang penternakan ayam.

Berita berkaitan:

  • Penduduk rimas bau busuk dari Sungai Air Salak
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 4:55 PM