GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Reuters

Sydney: Pihak berkuasa Australia, hari ini, memberi amaran pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 yang perlahan boleh mencetuskan gelombang jangkitan baharu daripada sub-varian BA.2 yang pantas menular bagi varian Omicron.

Australia bergelut dengan rekod kes baharu dan jumlah kemasukan ke hospital sejak gelombang Omicron melanda, tetapi situasi kembali stabil sejak enam minggu lalu.

Kebanyakan negeri melonggarkan peraturan penjarakan sosial manakala penggunaan pelitup muka di tempat tertutup ditarik balik dan pihak syarikat meminta pekerja kembali bertugas di pejabat.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan New South Wales, Brad Hazzard memberitahu ABC, hari ini bahawa jangkitan harian mungkin meningkat berganda dalam tempoh empat hingga enam minggu pada ketika sub varian itu dijangka menjadi dominan dan lebih ramai orang akan dimasukkan ke hospital serta meninggal dunia.

"Terdapat kekeliruan dan masalah besar dengan orang ramai yang datang untuk mendapatkan dos penggalak mereka.

"Lebih dua juta orang di negeri ini - daripada jumlah penduduk lapan juta - kini layak untuk dos penggalak mereka, namun masih belum mendapatkan suntikan," katanya.

Kira-kira 20,000 kes baharu dilaporkan di Australia pada hari ini, manakala empat kematian dicatatkan.

Secara keseluruhan, 3.1 juta kes dilaporkan dengan 5,kematian direkodkan sejak pandemik itu bermula.

Berdasarkan data rasmi, hanya 57 peratus penduduk berusia 16 tahun ke atas mendapatkan dos ketiga vaksin Covid-19 di New South Wales, yang didiami 25 juta penduduk Australia.

Di peringkat kebangsaan, 65 peratus menerima dos penggalak manakala 95 peratus mendapatkan dua dos.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 2:01 PM