Jambatan menuju ke bebarapa perkampungan Orang Asli dinaiki air sehingga menyebabkan penduduk Orang Asli terputus hubungan. FOTO Paya Linda Yahya
Jambatan menuju ke bebarapa perkampungan Orang Asli dinaiki air sehingga menyebabkan penduduk Orang Asli terputus hubungan. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Lebih 10,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di beberapa pos di daerah ini terputus hubungan apabila jalan perhubungan menuju ke penempatan mereka mula dinaiki air dan berlaku tanah runtuh.

Antara pos terbabit adalah penduduk di sekitar Rancangan Penempatan semula (RPS) Kuala Betis, Pos Balar, Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Gob dan Pos Tohoi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata, setakat ini, hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) di buka bertempat di RPS Kuala Betis.

Katanya, bagi penduduk terkandas, Jabatan Kebaikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mula menghantar bantuan makanan kepada penduduk yang terputus hubungan, sejak semalam.

"Di RPS Kuala Betis sahaja beberapa kampung sudah terputus hubungan, antaranya, Kampung Teranek, Kampung Lambok, Kampung Jias dan Kampung Setawar.

"Untuk menghantar bantuan makanan ini, JKM terpaksa menggunakan bantuan lori APM kerana jalan sudah dinaiki air dan hanya boleh dilalui dengan lori agensi terbabit.

"Dianggarkan, hampir 10,000 penduduk Orang Asli kini terputus hubungan di daerah ini susulan hujan berterusan sejak empat hari lalu. Ia termasuklah Pos Blau dan Pos Brooke," katanya ketika ditemui di RPS Kuala Betis di sini, hari ini.

Seorang penduduk, Roma Manan, 37, berkata, bermula kelmarin. sudah ramai penduduk yang berpindah ke atas bukit kerana bimbang berlaku banjir seperti tahun 2014.

"Banjir 2014 masih menjadi trauma kepada kami dan situasi air yang semakin naik semalam seakan banjir yang pernah berlaku sebelum ini.

"Semalam, air naik terlalu cepat dan membimbangkan kami penduduk di kawasan ini, ia menyebabkan ramai penduduk yang terputus hubungan. Saya harap banjir 2014, tidak berulang.

"Kini kami masih berjaga-jaga dan sentiasa memantau paras air sungai kerana di sini masih hujan walaupun tidak secara berterusan," katanya yang tinggal di Kampung Lambok di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 9:27 AM