REMAJA di Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu melakukan persiapan berpindah selepas kampung dinaiki air. FOTO Ghazali Kori.
REMAJA di Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu melakukan persiapan berpindah selepas kampung dinaiki air. FOTO Ghazali Kori.
Baharom Bakar dan Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Sehingga 4 petang, mangsa banjir di Terengganu bertambah kepada 2,903 orang yang berlindung di 53 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah.

Dungun mempunyai jumlah tertinggi dengan 1,200 mangsa daripada 319 keluarga di 20 PPS.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) negeri memaklumkan, 13 PPS yang dibuka di Hulu Terengganu menempatkan 768 mangsa (257 keluarga), manakala Setiu mempunyai 302 mangsa (85 keluarga) yang berlindung di lapan PPS.

Kemaman mempunyai 361 mangsa di enam PPS, Besut (240 mangsa di enam PPS) dan Marang kekal 12 mangsa di satu PPS.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Asisten Superintendan Raja Saripah Robiah Raja Sulaiman berkata, 10 jalan di daerah itu ditutup kerana ditenggelami banjir.

Menurutnya, sebanyak 13 kampung di Kuala Berang dengan lebih 700 penduduk ditempatkan di 13 PPS.

Jalan yang ditutup dinaiki air antara 0.5 meter hingga lebih satu meter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 5:09 PM