PENIAGA warga asing bebas berniaga di kaki lima bangunan. FOTO Saifullizan Tamadi
PENIAGA warga asing bebas berniaga di kaki lima bangunan. FOTO Saifullizan Tamadi
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Hulu Langat: Peniaga tempatan di Batu 12 dan Batu 13, di sini, mengeluh dan tidak berpuas hati dengan kebanjiran warga asing yang semakin ramai berniaga di kawasan itu.

Dakwa mereka, warga asing itu dalam kalangan Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar yang berniaga makanan, karpet dan menjahit pakaian.

Peniaga kedai menjahit yang mahu dikenali sebagai Aminah, 63, berkata, dia kini terpaksa bersaing dengan warga asing dari Pakistan yang turut menawarkan khidmat sama sepertinya.

Katanya, sejak warga Pakistan menawarkan khidmat sama dengannya, pendapatannya setiap hari berkurangan.

"Saingan saya sekarang ini adalah dengan orang Pakistan. Tidak jauh dari kedai saya ini ada sebuah pasar raya dan orang Pakistan membuka kedai jahitan di situ.

"Sejak dia membuka perkhidmatan yang sama, orang sudah semakin berkurang datang ke kedai saya," katanya ketika ditemui hari ini.

Dia yang berniaga selama 10 tahun mendedahkan sebelum ini boleh memperoleh RM300 setiap hari jika memperbaiki pakaian pelanggan.

"Bila dia sudah membuka kedai, semua orang pergi ke sana. Daripada dulu RM300 setiap hari saya boleh dapat, sekarang tak sampai RM100," katanya.

Peniaga makanan yang enggan nama disiarkan pula mendakwa wujud kegiatan 'ali baba' di kawasan Batu 12 dan Batu 13 yang mana warga asing menggunakan lesen peniaga tempatan.

"Ada peniaga Acheh tapi dia pakai lesen orang tempatan. Selain itu ada dalam kalangan peniaga warga asing ini boleh membuka restoran lebih besar daripada warga tempatan.

"Kita pun tak dapat nak buka restoran tapi dia boleh buka restoran. Dia ada ke tak lesen kita pun tak tahu," katanya.

Seorang lagi peniaga makanan, Izan, 66, pula mendakwa seolah-olah peniaga sepertinya dianaktirikan apabila warga asing dengan mudah membuka restoran dan menjaja.

Menurutnya, sebelum membuka perniagaan, warga tempatan perlu terlebih dulu mendapatkan lesen, mendaftarkan perniagaan, menghadiri kursus penyediaan makanan serta mendapatkan suntikan tifoid.

"Tetapi peniaga asing yang menjaja di tepi jalan ini ada ke tak buat semua itu? Bila ada kes keracunan makanan sebagai contoh, gerai yang ada lesen ini yang kena," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mengakui berlakunya kebanjiran warga asing yang berniaga di kawasan itu.

Beliau menggesa agar kerajaan menyiasat dan bertindak menyelesaikan masalah itu.

"Sebab saya tengok kebanjiran warga asing ini terlalu banyak. Seolah-olah sekarang ini kita bukan berjalan di Malaysia lagi dah.

"Jadi perkara ini antara (masalah) yang kerajaan kena lihat. Pertama, macam mana mereka ini boleh masuk. Kemudian, mereka ini masuk guna apa?

"Kenapa mereka boleh tinggal lama di sini seperti bekerja dan berniaga," soalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 6:24 PM