Tinjauan Taman Taming Jaya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Tinjauan Taman Taming Jaya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Hulu Langat: Peniaga tempatan yang berniaga di Batu 12 dan Batu 13 di sini, mengeluh dan tidak berpuas hati dengan kebanjiran warga asing yang semakin ramai berniaga di kawasan itu.

Dakwa mereka, warga asing ini adalah dalam kalangan Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar yang berniaga menjual makanan, permaidani dan menjahit pakaian.

Peniaga kedai menjahit yang mahu dikenali sebagai Aminah, 63, berkata, dia kini terpaksa bersaing dengan warga asing dari Pakistan yang turut menawarkan khidmat sama sepertinya.

"Saingan saya sekarang ini adalah dengan orang Pakistan. Tidak jauh dari kedai saya ini ada sebuah pasar raya dan orang Pakistan itu telah membuka kedai jahitan di situ.

"Sejak dia menawarkan perkhidmatan yang sama, pelanggan sudah semakin berkurangan datang ke kedai saya," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Dia yang berniaga sejak 10 tahun lalu mendedahkan boleh memperoleh pendapatan sehingga RM300 setiap hari dengan memperbaiki pakaian pelanggan sebelum ini.

"Bila dia (warga asing) sudah membuka kedai, semua orang pergi ke sana. Kini pendapatan saya tidak sampai RM100 sehari," katanya.

Peniaga makanan, Aminah, 63, pula mendakwa wujud kegiatan 'ali baba' membolehkan warga asing berniaga dengan menggunakan lesen peniaga tempatan.

"Ada peniaga Acheh membuka kedai namun menggunakan lesen orang tempatan. Selain itu ada dalam kalangan peniaga warga asing ini boleh membuka restoran lebih besar daripada warga tempatan," katanya.

Seorang lagi peniaga makanan, Izan, 66, pula mendakwa peniaga sepertinya seolah-olah dianak tirikan apabila warga asing ini dengan mudah membuka restoran dan menjaja.

Menurutnya, sebelum membuka perniagaan, warga tempatan wajib mendapatkan lesen, mendaftarkan perniagaan, menghadiri kursus penyediaan makanan serta mendapatkan suntikan tifoid.

"Tetapi peniaga asing yang menjaja di tepi jalan ini tidak perlu mematuhi semua syarat itu? Bila ada kes keracunan makanan sebagai contoh, gerai yang ada lesen ini yang disiasat pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mengakui berlakunya kebanjiran warga asing yang kini berniaga di kawasan itu.

Beliau juga menggesa kerajaan menyiasat dan bertindak menyelesaikan masalah ini.

"Saya tengok warga asing ini terlalu ramai. Seolah-olah kita bukan berada di Malaysia lagi. Ini antara (masalah) yang kerajaan kena lihat. Pertama, bagaimana mereka ini boleh masuk.

"Kenapa mereka boleh tinggal lama di sini seperti bekerja dan berniaga ?," soalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 12:28 PM