ASMAH (bukan nama sebenar) dihukum penjara enam tahun kerana bersubahat menyebabkan kematian anaknya pada 2020. FOTO Mohd Rafi Mamat
ASMAH (bukan nama sebenar) dihukum penjara enam tahun kerana bersubahat menyebabkan kematian anaknya pada 2020. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Bentong: "Sememangnya saya patut menerima hukuman penjara kerana cuai dan tidak bertindak sesuatu apabila suami memukul anak kami," kata Asmah, 30, (bukan nama sebenar).

Menurutnya, kira-kira sebulan suami mendera anak lelaki mereka berusia tujuh tahun yang akhirnya menyebabkan kematian kanak-kanak itu.

Katanya, detik hitam berlaku tiga tahun lalu itu mengheretnya ke Penjara Bentong atas kesalahan bersubahat menyebabkan kematian anaknya.

"Saya menyesal namun sudah terlewat, nasi sudah menjadi bubur. Sebagai ibu, saya perlu beri lebih perhatian pada arwah anak. Sebaliknya saya lebih menumpukan pada pekerjaan hingga mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu.

"Disebabkan kecuaian itu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun kerana bersubahat hingga menyebabkan kematian anaknya sendiri," katanya ditemui di Penjara Bentong, semalam.

Dia berkata, suaminya yang berasal dari Negeri Sembilan kini masih dalam tahanan reman di Penjara Bentong menunggu proses perbicaraan terhadap tuduhan membunuh.

Asmah berkata, sebelum kejadian arwah anaknya dibesarkan oleh ibunya di kampung dengan penuh kasih sayang dan ketika usia tujuh tahun dia serta suami mengambil keputusan menerima anaknya itu tinggal bersama selepas ibunya meninggal dunia.

Katanya, sifat manja arwah selain tidak mesra dengan bapanya dan sikap panas baran suami, menjadi antara faktor lelaki itu memukul anak.

"Umur arwah tidak panjang apabila dalam tempoh sebulan tinggal bersama kami, dia pergi buat selamanya," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian suaminya tidak bekerja manakala dia menjaga anak di rumah.

"Saya kini telah menjalani hukuman penjara tiga tahun lima bulan di Penjara Bentong.

"Selain kelas agama, saya turut mengikuti latihan kemahiran menjahit. Saya kini mampu menghasilkan pakaian wanita dan lelaki selain pelbagai kelengkapan termasuk hiasan rumah.

"Saya tidak sabar untuk bebas dan memulakan kehidupan baru bersama bapa dan seorang lagi anak yang sedang membesar. Saya yakin Allah akan membantu dalam meneruskan kehidupan pada masa akan datang," katanya yang berasal dari Temerloh.

Asmah berkata, tidak mungkin dia menunggu suaminya bebas kerana hukuman penjara yang bakal diterima antara 30 hingga 40 tahun membabitkan tuduhan membunuh termasuk penagihan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 12:12 PM