ASMAH bergambar bersama rumah baharu yang diterima pada Majlis Serahan Kunci Bantuan Bina Rumah LZS di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
ASMAH bergambar bersama rumah baharu yang diterima pada Majlis Serahan Kunci Bantuan Bina Rumah LZS di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Seorang ibu tunggal bersyukur apabila rumahnya yang uzur dan menunggu masa rebah menyembah bumi digantikan dengan kediaman baru oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Asmah Suboh, 67, berkata, rumah baru itu akan dihuninya menjelang Aidilfitri ini.

Suri rumah itu berkata, buat sementara, dia sekeluarga tinggal di sebuah rumah sewa di Kampung Sungai Yu yang dibiayai sepenuhnya oleh LZS.

"Rumah lama sudah terlalu usang selain bumbung banyak yang bocor. Kekangan kewangan menyebabkan kami tidak mampu untuk membaikinya.

"Hari ini, Allah SWT lorongkan saya dengan rezeki (bantuan) yang lebih baik untuk kami sekeluarga. Terima kasih tidak terhingga kepada LZS dan pihak berkaitan yang membantu kami," katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop menyampaikan kunci rumah kepada Asmah di Kampung Baru Pasir Penambang di sini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Amirudin Shari, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Rozana Zainal Abidin dan Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Faizal Abdul Raji.

Asmah yang kematian suami akibat kencing manis sejak 19 tahun lalu berkata, saban hari dia berusaha dan berdoa kepada Allah SWT supaya diberikan rezeki untuk menghuni kediaman yang lebih selesa.

"Walaupun LZS sediakan rumah sewa sebagai tempat tinggal sementara, tetapi saya lebih selesa untuk tinggal di rumah sendiri," katanya yang juga ibu kepada lapan anak.

Sementara itu, Saipolyazan berkata, pihaknya menyerahkan 13 kunci rumah kepada penerima yang juga keluarga asnaf fakir dan miskin di Kuala Selangor.

"Kita memperuntukkan lebih RM 1.2 juta bagi pembinaan 13 rumah baru ini.

"Setiap keluarga menerima rumah tiga bilik berkeluasan lengkap dengan kemudahan elektrik serta air bernilai RM86,000 hingga RM90,000 seunit di atas tanah pemberian kerajaan negeri Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 6:10 PM