GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Wartawan HM

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyerbu premis sebuah syarikat pelaburan di Rawang, dekat sini, untuk siasatan lanjut, hari ini.

Sumber berkata, pihaknya merampas dokumen untuk siasatan jika wujud pelanggaran termasuk mempromosi dan memasarkan Saham Keutamaan Boleh Tebus Islam RAB (RPS-i) tanpa lesen serta menawarkan RPS-i kepada pelabur runcit tanpa prospektus.

"Siasatan dilakukan mengikut Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007," katanya.

Terdahulu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dalam kenyataan pada 20 Disember lalu mengesahkan menerima 547 laporan berhubung kes penipuan pelaburan oleh tiga syarikat pelaburan.

Pengarah JSJK Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata, semua laporan itu merujuk kepada tiga syarikat pelaburan dengan 62 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kenyataan JSJK itu dikeluarkan susulan kira-kira 500 mangsa penipuan tampil membuat aduan dan laporan kepada Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) selepas mendakwa tiada tindakan diambil pihak berkuasa ke atas tiga syarikat pelaburan.

Kumpulan yang dibawa oleh Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) itu mahu siasatan segera dilakukan bagi membolehkan syarikat berkenaan dikenakan tindakan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 5:01 PM