ANTARA foto kenangan RJ Nagarajan sepanjang aktiviti mendaki gunung. FOTO Facebook RJ Nagarajan
ANTARA foto kenangan RJ Nagarajan sepanjang aktiviti mendaki gunung. FOTO Facebook RJ Nagarajan
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Pendaki Malaysia Thillaimuthu Nagarajan atau dikenali sebagai RJ Nagarajan menerima Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai rakyat Malaysia pertama menamatkan pendakian sembilan puncak tertinggi di tujuh benua, sekali gus melengkapkan versi Seven Summit Messner, Bass dan Hacket.

Versi Seven Summit Messner, Bass dan Hacket ialah melengkapkan pendakian ke Gunung Everest di Nepal (benua Asia), Gunung Denali di Alaska (Amerika Utara), Gunung Aconcagua di Argentina (Amerika Selatan), Gunung Vinson (Antartika), Gunung Kilimanjaro di Tanzania (Afrika), Gunung Elbrus di Rusia dan Blanc di Perancis (Eropah) dan Gunung Cartenz (Indonesia) dan Gunung Koziusko di Australia.

RJ Nagarajan berkata, dia memulakan pendakian ke Gunung Kilimanjaro pada 2010 untuk misi berkenaan dan menjadikan Gunung Everest sebagai penamat misi tahun ini.

Menurutnya, sebagai individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang psikologi, dia ingin memberi inspirasi kepada orang ramai terutama rakyat Malaysia untuk mengejar impian di dalam pelbagai bidang terutama membabitkan aktiviti lasak.

"Saya mengajak lebih ramai orang mengejar cita-cita mereka di dalam aktiviti pergunungan kerana ia bukan hanya pencapaian peribadi, tetapi membabitkan sokongan ramai pihak.

"Aktiviti pergunungan ini menjadikan saya bangga sebagai anak Malaysia kerana sepanjang pendakian ke semua gunung amat jarang Jalur Gemilang berada di puncak yang ditawan," katanya yang menerima pengiktirafan MBOR di sini, kelmarin.

RJ Nagarajan (kanan) menerima sijil pengiktirafan  daripada wakil MBOR atas pencapaiannya melengkapkan versi Seven Summit Messnes, Bass dan Hacket. FOTO Facebook RJ Nagarajan
RJ Nagarajan (kanan) menerima sijil pengiktirafan daripada wakil MBOR atas pencapaiannya melengkapkan versi Seven Summit Messnes, Bass dan Hacket. FOTO Facebook RJ Nagarajan

Katanya, antara cabaran tidak dapat dilupakan adalah ketika mendaki ke Gunung Denali pada 2018 apabila berdepan cuaca buruk lapan hari.

"Ketika itu, saya terperangkap di dalam khemah selama lapan hari kerana angin kuat sehingga sukar mendapatkan bantuan helikopter.

"Makanan hampir habis dan syukur selepas lapan hari saya dapat keluar dari keadaan itu dan kembali mendaki ke Gunung Denali pada 2019 untuk menawan puncaknya," katanya.

Katanya, cabaran lain yang tidak dapat dilupakan ialah ketika mendaki puncak Gunung Everest apabila dia dan penunjuk arah atau sherpa kehabisan oksigen.

"Ketika dari puncak menuju ke Kem 4, saya dan sherpa kehabisan oksigen. Kami lalui perjalanan turun amat sukar dalam keadaan oksigen minimum.

"Bagi saya cabaran seperti ini menjadi penguat semangat untuk kita terus mengejar cita-cita dan memberi inspirasi kepada orang lain," katanya.

ANTARA foto kenangan RJ Nagarajan sepanjang aktiviti mendaki gunung. FOTO Facebook RJ Nagarajan
ANTARA foto kenangan RJ Nagarajan sepanjang aktiviti mendaki gunung. FOTO Facebook RJ Nagarajan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 7:10 AM