RJ Nagarajan berjaya menakluki Gunung Everest menerusi program Misi ZeroTo8000. FOTO Facebook Zeroto8000 K2 2023
RJ Nagarajan berjaya menakluki Gunung Everest menerusi program Misi ZeroTo8000. FOTO Facebook Zeroto8000 K2 2023
Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Seorang lagi rakyat Malaysia, RJ Nagarajan berjaya menakluki Gunung Everest, puncak tertinggi dunia, hari ini.

Nagarajan, 59, tiba di puncak Everest tepat jam 12.45 tengah hari waktu Malaysia menerusi program Misi ZeroTo8000.

Pengasas ZeroTo8000 Mohd Khafiz Bachok dalam kenyataannya berkata, kejayaan itu menjadikan Nagarajan rakyat Malaysia kedua berjaya mendaki semua tujuh puncak tertinggi di tujuh benua (versi Ralhold Messner).

"Pendakian beliau adalah untuk menyampaikan mesej dan semangat rakyat Malaysia dalam berdikari mengejar impian dan mencipta kejayaan.

"Beliau memaklumkan setiap rakyat Malaysia harus berusaha berdikari dalam mencipta kejayaan di pelbagai bidang.

"Malah beliau melakukan semua pendakian ini dengan bekerja keras mengumpul dana sendiri dan kini terbukti berjaya dan semangat ini yang mahu diterapkan di dalam minda rakyat Malaysia oleh ZeroTo8000, bukan hanya dalam aktiviti pendakian, tetapi dalam apa jua impian yang dimiliki oleh mereka," katanya.

Sebelum ini, Nagarajan berjaya mendaki puncak tertinggi di benua Amerika Selatan, Gunung Aconcagua di Argentina (6,961 meter), puncak tertinggi benua Amerika Utara, Gunung Denali di Amerika Syarikat (6,194 meter), puncak tertinggi di benua Afrika, Gunung Kilimanjaro di Tanzania (5,895 meter), puncak tertinggi di benua Eropah, Gunung Elbrus di Rusia (5,642 meter), puncak tertinggi di benua Antartika, Gunung Vinson (4,892 meter) dan Gunung Kosciuszko di Australia ( 2,228 meter).

Negarajan turut melengkapkan dua lagi gunung iaitu Gunung Mont Blanc, Perancis pada ketinggian 4,810 meter dan Puncak Jaya, Irian Jaya di ketinggian 4,884 meter.

Beliau mengambil masa tujuh tahun sejak 2016 untuk melengkapkan semua pendakian terbabit.

Sebelum ini penjelajah negara Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menjadi rakyat Malaysia pertama menamatkan pendakian ke tujuh puncak tertinggi di tujuh benua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 4:35 PM