ILAJ Home kendalian Jawi untuk pesakit HIV/ AIDS beragama Islam dijangka beroperasi awal tahun depan. FOTO Ihsan Jawi
ILAJ Home kendalian Jawi untuk pesakit HIV/ AIDS beragama Islam dijangka beroperasi awal tahun depan. FOTO Ihsan Jawi
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pusat perlindungan setempat untuk orang Islam yang disahkan pesakit HIV/AIDS dikenali sebagai 'Ilaj Home, akan dibuka pada 2024.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, 'Ilaj Home yang terletak di Seputeh di ibu negara dijangka menerima penghuni kumpulan pertama Januari tahun depan.

Beliau berkata, 'Ilaj Home beroperasi di sebuah bangunan enam tingkat boleh memuatkan 100 penghuni dalam satu-satu masa.

"'Ilaj Home secara mudahnya difahami sebagai pusat perawatan. Kami mengharapkan pengoperasian 'Ilaj Home dapat membantu usaha kerajaan untuk mencapai negara sifar HIV/AIDS menjelang 2030.

"Inisiatif ini juga selari dengan cita-cita Jawi untuk membangun generasi Khaira Ummah atau masyarakat berkualiti yang menjadi tema sambutan Jubli Emas 50 tahun penubuhan Jawi pada Februari tahun depan," katanya.

Menurutnya, projek pembangunan 'Ilaj Home bermula 2012 oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan diserahkan kepada Jawi pada 13 Oktober 2023.

"Tujuan penubuhannya adalah sebagai tempat perlindungan dan pemulihan setempat bagi pesakit HIV/AIDS yang tiada tempat tinggal supaya mendapat pembelaan yang sewajarnya dari segi kebajikan dan kerohanian sekali gus tidak hanyut dan terpesong dalam menetapkan tujuan hidup.

"Program pemulihan dan perawatan di 'Ilaj Home akan menggabungkan kaedah perawatan moden dan perawatan Islam sebagai alternatif pemulihan pesakit," katanya.

Setakat ini, katanya, Jawi sudah pun menempatkan pegawai dan kakitangan sebagai persediaan pengoperasian.

Mohd Ajib berkata, selain itu, pihak Jakim juga membangunkan manual pengurusan 'Ilaj Home yang akan menjadi rujukan pengoperasian khususnya berkaitan rawatan dan pemulihan pesakit.

"Jawi turut mendapat sokongan dan kerjasama padu dari Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya melalui pembabitan Pejabat Kesihatan Daerah dan klinik kesihatan sekitar Kuala Lumpur bagi aspek perawatan moden serta menjadikan Hospital Kuala Lumpur sebagai hospital rujukan.

"Modul rawatan dan pemulihan yang dibangunkan oleh Jakim bersama panel panel pakar akan digunakan sebagai panduan dalam mengendalikan program di 'Ilaj Home," katanya.

Beliau berkata, penghuni Ilaj Home akan menerima perlindungan antara sembilan hingga 12 bulan secara percuma, rawatan secara alopati di klinik atau hospital kerajaan, rawatan Islam oleh pakar perubatan Islam dan khidmat psikospritual Islam dan kaunseling syar'ie sepanjang tempoh perlindungan.

Menurutnya, penghuni juga mendapat pengisian kerohanian seperti pengajian ilmu fardu ain dan latihan kemahiran sebagai persediaan sebelum kembali semula ke dalam masyarakat dengan jati diri yang lebih jitu.

Difahamkan, sejak 2010, purata kes baru HIV ialah sebanyak 2,500 hingga 3,000 kes setiap tahun.

Lebih membimbangkan, 77 peratus kes baharu HIV di Malaysia pada tahun 2022 terdiri daripada golongan muda berusia antara 20 hingga 39 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 7:07 PM