56 Pati ditahan dalam serbuan ke atas sebuah inap desa di Jalan Kebun, Shah Alam semalam.
56 Pati ditahan dalam serbuan ke atas sebuah inap desa di Jalan Kebun, Shah Alam semalam.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Shah Alam: Dipaksa tinggal dalam rumah kecil seperti 'tin sardin' dalam keadaan kotor dan tidak cukup makan sehingga lima hari. Itu antara situasi perlu dilalui 56 warga Indonesia yang ingin pulang secara haram menggunakan laluan laut.

Mereka ditahan semalam, dalam serbuan ke atas sebuah inap desa di Jalan Kebun, di sini, menerusi Op Pintas oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Harian Metro yang mengikuti operasi itu mendapati inap desa dengan empat bilik berkenaan berada dalam keadaan kotor, berbau busuk dan berselerak dengan bagasi pakaian yang diletakkan di merata-rata tempat.

Difahamkan, pihak ejen atau tekong darat menjadikan kediaman itu sebagai transit sebelum menyeludup keluar semua pendatang asing tanpa izin (Pati) terbabit ke Pantai Dumai di Indonesia.

Seramai 43 Pati lelaki terpaksa tidur dalam keadaan duduk di kawasan ruang tamu yang sempit, manakala 12 wanita tidur di dalam empat bilik.

Salah seorang Pati berkata, dia membayar sebanyak RM3,500 kepada ejen untuk membawa dirinya dan isteri pulang ke Indonesia.

"Kami diarahkan untuk transit di sini sebelum dibawa menaiki bot untuk pulang ke Indonesia yang katanya pada hari ini (semalam) iaitu pada 9 malam.

"Di sini, kami makan ala kadar sahaja, nasi, tempe air masak dan mi segera. Walaupun sudah membayar upah kepada ejen mereka masih meminta RM50 setiap seorang kononnya untuk pembayaran inap desa," katanya ketika ditemui di lokasi, di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Risikan Operasi) JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, pihaknya menahan empat suspek lelaki dipercayai bertindak sebagai penjaga dan pembantu penjaga.

Katanya, suspek yang kesemuanya warga Indonesia dipercayai aktif membawa migran keluar dan masuk menggunakan laluan laut tidak diwartakan, sejak tiga bulan lalu.

"Suspek berperanan sebagai penjaga mendedahkan melakukan aktiviti itu menggunakan jalan laut dan menerima arahan daripada beberapa orang lelaki Aceh (ejen besar) .

"Mereka menerima upah dari ejen besar berjumlah RM500 bagi setiap penghantaran di mana setiap migran dikenakan tambang bermula RM1,500 hingga RM2,000 seorang," katanya.

Menurutnya, tambang akan dibayar kepada ejen dan akan diuruskan untuk berlepas dari Tanjung Balai dan Dumai, Indonesia, melalui jalan laut sebelum mendarat di kawasan pantai sekitar Malaysia.

Katanya, pihaknya merampas sebuah Honda City yang dipercayai digunakan untuk membawa migran, wang tunai RM1,000 dan tiga telefon bimbit pelbagai jenama.

"Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk siasatan lanjut mengikuti Seksyen 26A Akta Atipsom 2007.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 10:11 AM